KUALA LUMPUR 11 Sept – Nisbah hutang bersih Uzma Bhd meningkat kepada 1.15 kali pada suku keempat tahun kewangan 2025 (4QFY25), berbanding 0.75 kali pada tempoh sama tahun lalu, berikutan peningkatan pinjaman bagi membiayai beberapa projek strategik, kata Philip Capital.
Firma penyelidikan itu berkata, kenaikan hutang tersebut sebahagian besarnya disumbang oleh pelaburan dalam inisiatif peralihan tenaga utama syarikat, termasuk fasiliti suntikan air SARA WIF 2.0 serta projek solar di bawah program Large Scale Solar 4 (LSS4).
Walaupun pinjaman meningkat, Philip Capital berkata, 85% daripada hutang Uzma adalah khusus kepada aset penjana tunai yang disokong kontrak jangka panjang.
“Ini sekali gus memberi jaminan aliran pendapatan tetap dan mengurangkan risiko pembayaran balik.
“Sekiranya hutang berkaitan WIF 2.0 dan solar diketepikan, nisbah hutang bersih Uzma berada pada paras lebih terkawal iaitu 0.38 kali, mencerminkan kedudukan kewangan asas syarikat yang lebih kukuh,” kata Philip Capital dalam nota kajiannya.
Selain faktor hutang, prospek pendapatan Uzma kekal positif apabila syarikat melangkah ke tahun kewangan 2026 dengan beberapa pemangkin utama dalam segmen minyak & gas.
Antaranya termasuk kontrak baharu dua tahun bagi kapal seismik marin yang dijangka menyumbang tambahan keuntungan bersih sekitar RM15 juta, bersamaan 23% daripada unjuran keuntungan FY26.
Firma itu berkata, Uzma juga bakal menerima sumbangan penuh daripada fasiliti suntikan air SARA WIF 2.0 yang dijangka menyumbang pendapatan tahunan RM65 juta apabila beroperasi pada kapasiti penuh.
“Selain itu, kontrak wireline logging tanpa pelantar di perairan Malaysia Timur yang bermula pada Mac 2025 turut memberi sokongan kepada pendapatan. Daripada lapan unit, tiga sudah beroperasi manakala baki lima dijangka menyusul sepanjang FY26.
“Dalam segmen tenaga baharu, sumbangan meningkat kepada 26% daripada hasil pada 4QFY25 berbanding hanya 2% setahun lalu, dipacu terutamanya oleh projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) solar.
“Portfolio tenaga boleh baharu Uzma kini berkembang daripada 50MWp pada 2QFY25 kepada 80MWp dan dijangka mencecah 90–100MWp pada FY26 sebelum mencapai 120MWp menjelang FY27,” kata Philip Capital.
Secara keseluruhan, Uzma memiliki buku pesanan bernilai RM4 bilion dengan 75% daripadanya datang daripada perniagaan minyak & gas dan 25% daripada tenaga baharu.
Syarikat itu turut memiliki tender bernilai RM3.7 bilion yang mana dua pertiga adalah projek solar.
Philip Capital mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap Uzma dengan harga sasaran RM0.89, memandangkan saham masih diniagakan pada penilaian rendah iaitu 4.2 kali unjuran keuntungan FY26, sekali gus menawarkan peluang pengumpulan menarik bagi pelabur. - DagangNews.com








