Pinjaman Persekutuan kepada kerajaan negeri cecah RM24.15 bilion setakat 31 Ogos – MOF | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pinjaman Persekutuan kepada kerajaan negeri cecah RM24.15 bilion setakat 31 Ogos – MOF

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 9 Okt - Jumlah keseluruhan pinjaman kerajaan Persekutuan kepada kerajaan-kerajaan negeri mencecah RM24.15 bilion setakat 31 Ogos tahun ini, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

 

Dalam jawapan bertulis di Parlimen, MOF menjelaskan, pinjaman berkenaan melibatkan empat kategori utama iaitu projek bekalan air, perumahan awam kos rendah, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) dan tujuan pelbagai.

 

Projek bekalan air merangkumi bahagian terbesar dengan 58.12% daripada jumlah keseluruhan, diikuti pinjaman pelbagai (27.61%), perumahan awam kos rendah (7.84%) dan PKEN (6.43%).

 

MOF memaklumkan setiap pinjaman tertakluk kepada proses kelulusan berstruktur yang mengambil kira tempoh pinjaman, kadar faedah serta kos pembiayaan kerajaan.

 

“Setiap pinjaman perlu melalui proses penilaian sewajarnya termasuk kovenan kewangan dan bukan kewangan bagi memastikan ketelusan serta keupayaan bayaran balik,” kata kementerian itu.

 

Penilaian terhadap keupayaan bayaran balik juga dilaksanakan bagi memastikan pinjaman kerajaan negeri tidak membebankan kedudukan fiskal kerajaan Persekutuan.

 

Sekiranya negeri-negeri berhadapan cabaran bayaran balik, kerajaan Persekutuan bersedia untuk menyusun semula jadual pembayaran balik pinjaman, tambah MOF.

 

“Pemantauan berterusan dilaksanakan terhadap projek-projek pembangunan yang berkaitan bagi memastikan ia disiapkan mengikut jadual serta manfaatnya sampai kepada rakyat,” katanya.

 

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof (PH) yang ingin mengetahui pendedahan pinjaman kerajaan negeri serta langkah kawalan fiskal yang dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan. - DagangNews.com