KUALA LUMPUR 14 Nov — Pharmaniaga Berhad menjelaskan Kumpulan mencatat Keuntungan Selepas Cukai (PAT) pada suku ketiga tahun lalu berjumlah RM101.3 juta kerana angka itu termasuk pengecualian penalti sekali sahaja sebanyak RM94.9 juta (selepas cukai) yang diberikan oleh Kerajaan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia bagi menjelaskan laporan media berkaitan keputusan kewangan 3QFY2025, kumpulan itu berkata, PAT bagi suku sama tahun ini RM7.5 juta, lebih rendah kerana ketiadaan pengecualian penalti itu.
Katanya, pengecualian penalti itu berkaitan ketidakupayaan Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd memenuhi beberapa piawaian prestasi di bawah perjanjian konsesi terdahulu — situasi yang berpunca daripada kekangan operasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik COVID-19.
"Tanpa mengambil kira pengecualian penalti sekali sahaja berjumlah RM124.9 juta dalam tahun kewangan lalu, Pharmaniaga menegaskan prestasi asas Kumpulan sebenarnya menunjukkan peningkatan," kata kenyataan itu.
Tambahnya, hasil kumpulan pada 3QFY2025 mencatat pertumbuhan kukuh 11.3% berbanding suku sama tahun sebelumnya.
Dari segi keuntungan operasi, EBITDA bagi 3QFY2025 berjumlah RM32.7 juta, menandakan tahap keuntungan asas yang stabil dan mampan.
Menurut Pharmaniaga, prestasi suku terkini adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya, didorong oleh kecekapan operasi yang dipertingkat, strategi pengoptimuman kos yang ketat, serta ketiadaan sebarang item luar biasa (seperti pengecualian penalti sekali sahaja) dalam tempoh pelaporan semasa.
“Kami berharap penjelasan ini membantu memberikan gambaran jelas mengenai perbezaan dalam keputusan yang dilaporkan,” kata syarikat itu dalam kenyataan. - DagangNews.com








