KUALA LUMPUR 27 Ogos - Pharmaniaga Bhd mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 41.6 peratus kepada RM3.96 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY2025), berbanding RM2.80 juta dalam tempoh sama tahun lalu, didorong permintaan konsesi yang kukuh serta peluasan portfolio produk.
Hasil suku tahunan meningkat 10.6% tahun ke tahun kepada RM926.9 juta berbanding RM838.3 juta sebelumnya, disokong oleh peningkatan pesanan daripada hospital kerajaan dan penambahan produk baharu dalam senarai pembelian produk yang diluluskan (APPL).
Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) naik 9.2% kepada RM34.2 juta berbanding RM31.3 juta.
Bagi separuh pertama tahun kewangan 2025 (1H25), keuntungan bersih melonjak 17.9% kepada RM33.54 juta berbanding RM28.44 juta dalam tempoh sama tahun lalu, manakala hasil meningkat 9.9% kepada RM2 bilion.
EBITDA turut kukuh kepada RM106.3 juta berbanding RM97.8 juta sebelumnya, dengan keuntungan sebelum cukai meningkat kepada RM52.9 juta daripada RM42.4 juta.
Pengarah Urusan Datuk Zulkifli Jafar berkata momentum pemulihan Pharmaniaga kekal utuh dan syarikat berada di landasan untuk keluar daripada status Practice Note 17 (PN17) menjelang suku pertama 2026, susulan kejayaan menyelesaikan pelan regularisasi awal bulan ini.
“Ini merupakan langkah penting ke hadapan dan kami kekal fokus untuk mencapai sasaran pertumbuhan 2025, mengukuhkan asas kewangan serta memperluaskan kehadiran di pasaran utama,” katanya. - DagangNews.com








