PGF Capital catat pertumbuhan hasil 7.3% kepada RM130.1 juta pada 9MFY26 disokong permintaan kukuh pasaran Oceania | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PGF Capital catat pertumbuhan hasil 7.3% kepada RM130.1 juta pada 9MFY26 disokong permintaan kukuh pasaran Oceania

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 26 Jan – PGF Capital Berhad, pengeluar penebat terkemuka mencatatkan pertumbuhan hasil yang stabil bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 November 2025 (9MFY26), disokong permintaan berterusan daripada pasaran teras Australia dan New Zealand.

 

Dalam kenyataan hari ini, kumpulan itu memberitahu, bagi 9MFY26 syarikat merekodkan hasil sebanyak RM130.1 juta, meningkat 7.3% berbanding RM121.3 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Keuntungan sebelum cukai (PBT) berjumlah RM26.9 juta, hampir tidak berubah berbanding RM27.0 juta pada 9MFY25, dipengaruhi oleh kerugian belum direalisasi penilaian ke pasaran sebanyak RM2.54 juta ke atas kemudahan pertukaran mata wang silang serta kerugian pertukaran asing RM1.22 juta.

 

Keuntungan selepas cukai (PAT) pula susut kepada RM18.0 juta berbanding RM20.0 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

 

Bagi suku ketiga FY26 (3QFY26), PGF Capital mencatatkan hasil sebanyak RM44.1 juta, melonjak 14.8% daripada RM38.4 juta pada 3QFY25.

 

PBT bagi suku tersebut meningkat kepada RM8.7 juta daripada RM8.4 juta tahun lalu, disokong oleh prestasi operasi yang stabil dan kecekapan operasi, walaupun sebahagiannya diimbangi oleh kerugian MTM belum direalisasi.

 

Segmen penebat kekal menjadi penyumbang utama kumpulan, mewakili lebih 99% daripada jumlah hasil 9MFY26.

 

Hasil segmen meningkat kepada RM129.7 juta daripada RM120.3 juta tahun lalu, manakala PBT segmen bertambah kepada RM32.5 juta berbanding RM31.4 juta sebelumnya, mencerminkan peningkatan kecekapan operasi.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Fong Wern Sheng berkata, prospek kumpulan bagi FY26 kekal positif, disokong oleh keperluan kawal selia, inisiatif perumahan dan program kecekapan tenaga di Australia dan New Zealand.

 

“Di Malaysia, peraturan kecekapan tenaga serta dasar yang diumumkan di bawah Belanjawan 2026, termasuk mekanisme harga karbon dan insentif pembiayaan hijau, dijangka menggalakkan penggunaan penyelesaian penebat, terutamanya dalam segmen komersial dan perindustrian,” katanya.

 

Beliau menambah pembangunan infrastruktur sektor awam yang berterusan dalam sektor pengangkutan dan utiliti dijangka menyokong aktiviti pembinaan dalam jangka sederhana.

 

Selain itu, PGF Capital melihat prospek menggalakkan bagi panel sandwic bulu mineralnya, khususnya untuk aplikasi berprestasi tinggi seperti pusat data, selepas memperoleh pensijilan SIRIM dan BOMBA.

 

Setakat 30 November 2025, kumpulan mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh dengan nisbah penggearan bersih 0.32 kali dan aset bersih sesaham sebanyak RM1.43. - DagangNews.com