KUALA LUMPUR 15 Dis – Petroleum Sarawak Bhd (Petros) bekerjasama dengan China Jiangsu International Economic and Technical Cooperation Group Ltd (CJI) bagi membangunkan Hab Rendah Karbon Kuching (Kuching Low Carbon Hub, KLCH), satu inisiatif strategik yang berpotensi menarik sehingga AS$7 bilion (kira-kira RM28.7 bilion) pelaburan ekonomi hijau dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Syarikat milik kerajaan negeri itu menandatangani Perjanjian Rangka Kerja dengan CJI bagi pembangunan berfasa KLCH, selain memorandum persefahaman (MoU) dengan tujuh syarikat utama China dalam sektor ekonomi hijau, di Nanjing, China, baru baru ini.
Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy dan Petros) Datuk Ibrahim Baki, Pengerusi Petros Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petros Datuk Janin Girie, serta Pengerusi CJI Song Qinbo dan Presiden CJI Zhu Xingbao.
Menurut kerajaan Sarawak dalam kenyataan, minat yang ditunjukkan oleh syarikat-syarikat tersebut mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap potensi KLCH sebagai pusat perindustrian rendah karbon yang berhubung secara global.
Abang Johari berkata kerjasama antara Petros, CJI dan rakan strategik China itu berupaya memperkukuh ekonomi negeri melalui aliran pelaburan berskala besar.
“Aliran pelaburan yang dipacu oleh pembangunan KLCH akan mengukuhkan ekonomi Sarawak secara signifikan. Suntikan modal ini akan meningkatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negeri, di samping mewujudkan banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta membantu meningkatkan pendapatan isi rumah,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian itu.
Abang Johari berkata KLCH direka untuk menarik industri yang memerlukan penyelesaian tenaga hijau dan rendah karbon, disokong oleh kekuatan Sarawak dalam gas asli, sumber air, tenaga hidro boleh diperbaharui, serta potensi penyimpanan karbon.
“Kekuatan ini menjadikan Sarawak destinasi yang kompetitif untuk pemain industri global yang memerlukan produk rendah karbon atau hijau, khususnya bagi pasaran Asean, Asia Timur dan seterusnya,” katanya.
Di bawah Perjanjian Rangka Kerja itu, Petros akan mengetuai dan menyelia pembangunan pelan induk keseluruhan KLCH bagi memastikan keselarasan dengan strategi ekonomi dan tenaga jangka panjang Sarawak.
CJI pula akan menyumbang kepakaran strategik dan teknikal untuk memperkukuh keupayaan tekno-komersial KLCH, termasuk pemindahan pengetahuan industri dan kejuruteraan bertaraf dunia.
Kedua-dua pihak juga akan memanfaatkan rangkaian luas CJI bagi menarik pelabur dan rakan strategik berkredibiliti, sekali gus mengukuhkan kedudukan KLCH sebagai hab serantau industri maju berkarbon rendah.
Susulan itu, Petros dan CJI turut menandatangani MoU dengan tujuh rakan strategik yang menyatakan minat awal untuk melabur mengikut kepakaran masing-masing dalam salah satu taman perindustrian di KLCH.
Mereka ialah ASEAN Jiangsu Chambers of Commerce Alliance (AJCCA), Jiangsu Unicorn and Gazelle Enterprise Alliance (JUGA), CUCDE Environmental Technology, Nanjing TOUA Hardware & Tools, Nanjing WONDUX Environmental Protection Technology, Jiangsu Ankura Smart Power Station Technology, dan Jiangsu Complete Equipment (JCEC).
Kerjasama itu dilihat sebagai langkah penting dalam mempercepatkan aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai hab tenaga dan ekonomi hijau utama di rantau ini. - DagangNews.com








