PETRONAS tidak kurangkan pengeluaran minyak di Sabah walaupun harga global jatuh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS tidak kurangkan pengeluaran minyak di Sabah walaupun harga global jatuh

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 13 Feb — PETRONAS tidak bercadang mengurangkan pengeluaran minyak dan gas di Sabah walaupun harga minyak dunia kekal rendah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

 

Beliau berkata kerajaan Persekutuan bersama syarikat minyak dan gas multinasional sentiasa memantau perkembangan harga minyak dunia, termasuk kesan turun naik harga terhadap industri tempatan, dan pengurusan pengeluaran dibuat berdasarkan pertimbangan menyeluruh serta keperluan jangka panjang negara.

 

“Pengurusan pengeluaran minyak dan gas, termasuk di Sabah, dilaksanakan berdasarkan pertimbangan menyeluruh dan tidak ditentukan semata-mata oleh perubahan harga jangka pendek,” katanya dalam jawapan yang disiarkan di laman web Parlimen pada Khamis.

 

Berdasarkan perkembangan pasaran tenaga global terkini, harga minyak mentah Brent berada sekitar AS$69.68 setong (kira-kira RM327.50).

 

Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) pula sekitar AS$64.93 setong (kira-kira RM305.20), mencerminkan keadaan pasaran yang masih tidak menentu susulan faktor permintaan global dan sentimen ekonomi antarabangsa.

 

Azalina berkata, keputusan pengeluaran mengambil kira keperluan untuk memastikan keselamatan dan kesinambungan bekalan tenaga negara, mengekalkan kestabilan industri serta menjana pendapatan kepada negara dan negeri pengeluar.

 

Menurutnya, walaupun industri minyak dan gas global berdepan turun naik harga, sebarang keputusan strategik berkaitan pengeluaran dibuat secara berhati-hati dalam konteks jangka panjang bagi menyokong kestabilan ekonomi serta keperluan tenaga domestik. - DagangNews.com