PETRONAS sahkan projek gas Suriname medan Sloanea Blok 52 berdaya maju untuk dikomersialkan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS sahkan projek gas Suriname medan Sloanea Blok 52 berdaya maju untuk dikomersialkan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 14 Nov - Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) mengumumkan projek gas asli di Suriname kini telah disahkan komersial dan layak dibangunkan, sekali gus menandakan satu lagi langkah penting dalam pengembangan operasi antarabangsa di benua Amerika Selatan.

 

Dalam kenyataan hari ini, syarikat minyak dan gas nasional negara itu berkata dengan pengisytiharan komersial (Declaration of Commerciality, DoC) bagi medan Sloanea di Blok 52, yang dibuat bersama rakan kongsi dari Amerika Selatan, Staatsolie Maatschappij Suriname NV, menandakan projek itu kini bersedia untuk memasuki fasa seterusnya iaitu pembangunan penuh.

 

“DoC mengesahkan kesediaan projek untuk bergerak daripada penemuan kepada pembangunan, tertakluk kepada keputusan pelaburan akhir (FID). 

 

"Ia memperkukuh momentum positif susulan kejayaan penerokaan Sloanea-1 pada tahun 2020, selain mencerminkan keyakinan kedua-dua pihak terhadap potensi hidrokarbon di lembangan luar pesisir Suriname serta komitmen bersama untuk membuka potensi tenaga air dalam negara itu,” kata syarikat itu.

 

Naib Presiden Aset Huluan Antarabangsa PETRONAS, Mohd Redhani Abdul Rahman, berkata pengesahan DoC Sloanea-1 membuktikan kebolehlaksanaan ekonomi medan tersebut untuk dibangunkan dan dikomersialkan.

 

“Pencapaian ini menyerlahkan kerjasama kukuh dan keyakinan antara PETRONAS dan Staatsolie, yang berteraskan keupayaan teknikal, pemeliharaan alam sekitar dan komitmen untuk memberikan manfaat bersama kepada rakyat Suriname,” katanya.

 

PETRONAS memasuki kontrak perkongsian pengeluaran bagi Blok 52 pada 2013 dan sejak itu telah mencatat tiga penemuan besar dalam blok berkenaan.

 

Syarikat nasional itu merupakan pengendali Blok 52 dengan 80 peratus kepentingan, manakala baki 20 peratus dipegang syarikat subsidiari Staatsolie, Paradise Oil Company.

 

Pada masa ini, PETRONAS memegang kepentingan dalam lapan blok luar pesisir di Suriname — Blok 9, 10, 48, 52, 53, 63, 64 dan 66 — sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan strategik dalam agenda pembangunan tenaga Suriname. - DagangNews.com