KUALA LUMPUR 4 Feb - Petroliam Nasional Berhad (Petronas) tampil menjelaskan bahawa usaha untuk penyahaktifan saluran paip gas Sabah-Sarawak (SSGP) hanya akan menjejaskan seksyen tertentu.
Menurut kenyataan syarikat minyak kebangsaan tersebut, langkah berkenaan dikenal pasti cuma bakal melalui beberapa kawasan di Sarawak yang meliputi Lawas, Limbang, Miri dan Bintulu sahaja.
Sebaliknya, baki lokasi SSGP yang lain ujar Petronas, masih terus lagi beroperasi seperti biasa dan keputusan tersebut dibuat berikutan semakan menyeluruh mengenai daya maju bahagian khusus projek itu.
Justeru, ia menekankan bahawa kajian semula ini mengambil kira cabaran berterusan yang ditimbulkan ekoran faktor persekitaran yang semakin teruk didapati telah muncul sejak beberapa tahun dan terus meningkat.
Situasi di luar jangkaan berkenaan jelas Petronas, secara tidak langsung sudah memberikan banyak kesan kepada tahap keutuhan integriti dan keselamatan kawasan sekitar projek SSGP itu sendiri.
Pada masa sama, ia ingin memberi jaminan kepada pelanggan bahawa usaha pemberhentian separa itu tidak pula menjejaskan komitmen demi memastikan bekalan tenaga boleh dipercayai dan memenuhi obligasi kontrak.
“Petronas kekal komited untuk melabur di Sabah dan Sarawak melalui pelbagai pembangunan projek berkaitan minyak, gas dan tenaga tambah nilai yang membabitkan kedua-dua negeri berkenaan,” tambahnya.
Media pada 29 Januari lalu melaporkan yang syarikat milik negara tersebut mengumumkan bahawa ia sedang mempertimbangkan semula aktiviti penyahtauliahan aset matang dalam operasi huluan termasuk SSGP.
Menerusi laporan Tinjauan Aktiviti untuk 2025-2027, Petronas berkata bahawa proses kajian itu turut melibatkan penilaian aset yang tidak digunakan untuk potensi guna semula. - DagangNews.com








