KUALA LUMPUR 13 Feb — Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) terus memperkukuh kedudukan globalnya dalam sektor huluan minyak dan gas (O&G) apabila anak syarikat milik penuhnya, PC Oman Ventures Ltd, menandatangani perjanjian konsesi bagi penerokaan Blok 18 di Laut Oman.
Perjanjian itu dimeterai bersama kerajaan Oman dan OQ Exploration and Production Batinah Offshore LLC (OQEP), sekali gus menandakan pencapaian penting dalam memperkukuh kerjasama strategik antara PETRONAS dan rakan serantaunya itu.
Blok 18 yang terletak di timur laut Oman meliputi kawasan luar pesisir seluas kira-kira 21,000 kilometer persegi, menjadikannya antara blok konsesi terbesar di negara berkenaan.
Kawasan tersebut menawarkan potensi penerokaan signifikan merentasi pelbagai persekitaran geologi, daripada perairan cetek sehingga ultra dalam.
Menurut PETRONAS dalam kenyataan, kerjasama itu membina susulan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai dengan OQEP pada Oktober lalu, selain mengukuhkan kehadiran jangka panjang syarikat tenaga nasional itu di Kesultanan Oman.
“Perkongsian ini menyokong aspirasi PETRONAS untuk mempertingkat portfolio huluannya yang kompetitif dengan menyelaraskan keupayaan penerokaan luar pesisir bersama kepakaran serantau OQEP, sekali gus mewujudkan asas usaha sama yang saling menguntungkan,” kata kenyataan itu.
Blok 18 merupakan sebahagian daripada blok konsesi yang dilancarkan Oman pada 2024 di bawah pendekatan baharu pelaburan sektor O&G, termasuk pelaksanaan sistem kontrak berasaskan fi konsesi serta kebenaran bagi projek eksploitasi gas bersepadu.
Naib Presiden Aset Antarabangsa PETRONAS, Mohd Redhani Abdul Rahman berkata, langkah tersebut selari dengan strategi pengembangan portfolio secara berdisiplin yang memberi nilai tambah jangka panjang kepada kumpulan.
“Bersandarkan kekuatan teknikal dan rekod kejayaan kami, PETRONAS terus memperluas aktiviti penerokaan ke wilayah baharu.
“Melalui pendekatan penerokaan inovatif dan kepakaran lembangan OQEP, kami menyasarkan untuk membuka potensi Blok 18, sekali gus menyumbang kepada keselamatan tenaga jangka panjang Oman,” katanya.
Beliau menambah, penambahan aset itu menyediakan opsyen strategik yang lebih luas merentasi portfolio antarabangsa PETRONAS dalam persekitaran industri yang semakin mencabar dan kompetitif.
Pengumuman tersebut menyusuli beberapa penemuan penting dicapai PETRONAS sepanjang 2025, termasuk kejayaan membuka potensi hidrokarbon di Lebah Emas, Malaysia serta penemuan di Blok 52, Suriname.
Sebagai rakan tenaga dan penyelesaian global, PETRONAS kekal komited meneroka peluang pertumbuhan baharu di peringkat antarabangsa sambil memperkukuh kerjasama dengan rakan strategik bagi menjamin kemampanan dan keselamatan tenaga jangka panjang. - DagangNews.com








