Petronas Gas diunjur catat jualan lebih tinggi kesan penurunan tarif - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Petronas Gas diunjur catat jualan lebih tinggi kesan penurunan tarif - MIDF Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 Mac — Petronas Gas Berhad (PetGas) diunjur mencatatkan margin jualan yang lebih tinggi berikutan pengurangan tarif untuk perkhidmatan pengangkutan gas dan pengegasan semula, kata MIDF Research.
 

Firma penyelidikan itu berkata, cadangan semakan semula pelarasan tarif berkenaan yang telah menerima kelulusan Suruhanjaya Tenaga semalam, dijangka menyaksikan penetapan kos lebih rendah kepada pengguna.
 

Selain itu, pengurangan tarif tersebut juga boleh membuka banyak lagi peluang pelaburan dalam usaha penyahkarbonan dan projek boleh diperbaharui, yang sejajar dengan matlamat kemampanan digariskan kerajaan Malaysia.
 

"Kami percaya langkah pelarasan tarif ini boleh meningkatkan daya saing pemain gas, meningkatkan hasil eksport dan merangsang aktiviti ekonomi sepanjang tahun," katanya dalam satu nota kajian.
 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, risiko kepada penurunan tarif ini kekal sebagai kesan ke atas hasil syarikat untuk tahun kewangan FY25, serta mungkin menjejaskan kos dalam prasarana dan penyelenggaraan.
 

Perkembangan ini pula seterusnya boleh termasuk kemungkinan pelarasan kepada perbelanjaan lain, serta dijangka menjejaskan kontrak jangka panjang antara PetGas dan pelanggannya yang telah sekian lama wujud.
 

MIDF Research percaya, memandangkan kepakaran dan pengalaman syarikat berkenaan dalam bidang tersebut, serta pelan kawalan kos oleh Petronas sendiri, ia yakin risiko kewangan sebegitu boleh dikurangkan.

 

Secara keseluruhannya, kami mengekalkan pendirian positif kepada PetGas dan percaya imbangan permintaan bekalan dalam pasaran gas asli cecair (LNG) akan kekal kukuh, dan memberikan kelebihan syarikat," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berpendapat bahawa penyelarasan semula tarif masih sejajar dalam penilaian mereka sejajar dan tidak membuat perubahan pada anggaran pendapatan syarikat tersebut pada ketika ini.


Ia turut mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM18.67 sesaham. - DagangNews.com