PETRONAS Dagangan berdepan risiko jualan susulan rasionalisasi subsidi – CGS International | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS Dagangan berdepan risiko jualan susulan rasionalisasi subsidi – CGS International

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 26 Ogos - PETRONAS Dagangan Bhd (PDB) dijangka berdepan tekanan jualan bahan api yang lebih ketara sebaik sahaja kerajaan melaksanakan pelan rasionalisasi subsidi RON95 pada akhir September 2025, menurut CGS International.

 

Firma penyelidikan itu dalam satu nota mengekalkan saranan Reduce terhadap saham PDB dengan harga sasaran RM16.74, sambil menegaskan nisbah risiko-pulangan pelabur kini tidak memihak selepas saham syarikat melonjak hampir 20 peratus dalam tempoh tiga bulan lalu.

 

PDB melaporkan keuntungan bersih teras sebanyak RM270 juta bagi suku kedua 2025, susut 8 peratus berbanding suku sebelumnya dan turun 7 peratus tahun ke tahun. Ini menjadikan keuntungan bersih teras separuh pertama 2025 berjumlah RM563 juta — kira-kira separuh daripada unjuran tahunan pasaran, sejajar dengan jangkaan.

 

Menurut CGS International, prestasi yang lebih lemah itu berpunca daripada kos belian bahan api yang tidak memihak di bawah mekanisme harga Mean of Platts Straits (MOPS) dalam pasaran minyak menurun, peruntukan rosot nilai ke atas kos pembangunan tanah di bahagian runcit, serta ketiadaan penulisan balik hutang ragu yang sebelum ini menyokong prestasi 1Q25.

 

Walau bagaimanapun, jumlah jualan meningkat suku ke suku, dipacu oleh pemulihan permintaan runcit selepas banjir pada suku pertama serta peningkatan aktiviti penerbangan pasca Ramadan.

 

Secara keseluruhan, jumlah jualan merosot 1 peratus tahun ke tahun dalam 2Q25, selepas penurunan 2 peratus pada 1Q25. Faktor utama ialah penguatkuasaan lebih ketat terhadap penjualan diesel bersubsidi di Sabah dan Sarawak, yang masih mengekalkan subsidi berbanding di Semenanjung Malaysia.

 

Akibatnya, jualan runcit PDB bagi separuh pertama 2025 merosot 10 peratus tahun ke tahun, mengatasi pertumbuhan 13 peratus dalam jualan komersial.

 

Rasionalisasi RON95

Melangkah ke hadapan, CGS International menekankan pelabur semakin berhati-hati terhadap kesan rasionalisasi subsidi RON95.

 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan semalam memaklumkan kerajaan akan mengumumkan butiran berkaitan kelayakan individu yang layak menerima subsidi RON95 serta kuota bulanan pembelian menjelang hujung September. Warga asing tidak lagi dibenarkan membeli RON95 bersubsidi, manakala rakyat tempatan mungkin mengehadkan pembelian dalam lingkungan kuota yang ditetapkan.

 

“Unjuran semasa kami menganggap pertumbuhan volum sifar bagi tahun kewangan 2025 hingga 2027, namun senario ini bakal diuji sebaik sahaja perubahan subsidi dilaksanakan pada 4Q25,” jelas CGS International.

 

Di sebalik kebimbangan tersebut, potensi sokongan masih ada daripada jualan bahan api jet yang lebih kukuh sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, atau sekiranya pelaksanaan rasionalisasi subsidi ditangguhkan.

 

Kapasiti tempat duduk penerbangan di Malaysia dijangka kembali hampir kepada paras prapandemik menjelang akhir 2025, sekali gus menyokong permintaan bahan api komersial.

 

Saham PDB kali terakhir ditutup pada paras RM22.80, memberi isyarat risiko penurunan yang besar berbanding harga sasaran RM16.74 yang ditetapkan CGS International. - DagangNews.com