PETRONAS Chemicals berjaya kurangkan kerugian bersih, prestasi 3Q25 kukuh dipacu operasi lebih baik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS Chemicals berjaya kurangkan kerugian bersih, prestasi 3Q25 kukuh dipacu operasi lebih baik

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 NovPETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) menunjukkan pemulihan ketara pada 3Q25 apabila kerugian bersih (LAT) berjaya dikurangkan kepada RM291 juta daripada RM1 bilion pada 2Q25.


Perkembangan positif tersebut menurut kumpulan berkenaan, disokong oleh kesan tukaran asing yang lebih rendah dan ketiadaan perbelanjaan luar biasa yang menekan keputusan pada suku sebelumnya.


Prestasi kewangan turut diperkukuh oleh peningkatan operasi, dengan hasil bertambah 5% kepada RM6.8 bilion, manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) melonjak 26%.

 

 

 

 

 


"Keadaan ini menyebabkan ia bertambah kepada RM497 juta, manakala hasil jumlah jualan lebih tinggi serta penyebaran produk urea dan ammonia turut didapati lebih baik," kata PCG dalam satu kenyataan.


Jelasnya, kumpulan berkenaan juga mencatat kadar penggunaan loji purata 90%, meningkat berbanding 77% pada suku yang sebelumnya, walaupun terdapat kerja pemulihan berkala di PC Fertiliser Sabah.


Situasi itu membolehkan operasi lebih stabil dan margin menunjukkan pemulihan ketara, di samping kerugian tukaran asing tidak direalisasi yang lebih rendah daripada penilaian semula hutang PPCSB.


Tambahnya, ketiadaan perosotan nilai aset Perstorp dan tiada kerugian pengukuran semula seperti 2Q25, serta inisiatif pengoptimuman kos juga meningkatkan EBITDA lebih RM400 juta setakat ini.


Dalam pada itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail ketika mengulas prestasi suku tersebut, menegaskan ia membuktikan keberkesanan disiplin operasi syarikat berkenaan.


“Ini mencerminkan faedah nyata daripada disiplin operasi dengan peningkatan prestasi loji secara keseluruhan, sementara kami turut melaksanakan kerja-kerja pemulihan yang dirancang," jelasnya.


Beliau turut menyatakan perkembangan loji juga dilaksanakan dengan selamat dan mengikut jadual, selain PCG kekal fokus kepada usaha kecekapan operasi, pengoptimuman kos dan penciptaan nilai.


Mazuin berkata, pendekatan berdisiplin ini telah menghasilkan peningkatan dalam EBITDA dan ia juga terus komited memacu inovasi dan memperluaskan portfolio untuk memenuhi keperluan pelanggan.


Pada masa sama tegasnya, pengenalan rangkaian Neptem berjaya menambah nilai dalam segmen kimia khusus, dan menjadikan jumlah produk baharu kumpulan pada tahun ini mencecah sebanyak 15 produk.


Di samping itu, beliau turut mengesahkan Ujian Kebolehpercayaan Pemiutang (CRT) di Kompleks Bersepadu Pengerang di Johor ditangguhkan sementara berikutan keadaan pasaran yang masih lemah.


"Bagaimanapun, loji terus beroperasi pada tahap optimum bagi mengekalkan margin terbaik, dan PCG menjangkakan suasana industri adalah kekal mencabar dalam masa yang terdekat," kata Mazuin.


Perkara itu disebabkan lebihan bekalan dan permintaan global perlahan terus memberi tekanan ke atas margin dalam segmen Olefin dan Derivatif, manakala segmen Baja dan Metanol dijangka meraih manfaat.


Ia jelas beliau, berikutan langkah sekatan eksport urea oleh pihak berkuasa China dan permintaan tinggi dari India menjelang musim penanaman serta peningkatan permintaan tenaga pada musim sejuk.

 

 

 

 

 


Segmen kimia khusus pula tambah Mazuin, namun masih lagi kekal berhati-hati berikutan kelemahan dalam pasaran pembinaan dan automotif yang dijangka mungkin mempengaruhi corak permintaan bekalan.


PCG ujarnya, dengan kapasiti pengeluaran 16.8 juta tan metrik setahun serta kehadirannya di Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Utara, yakin kekal menerajui industri bahan kimia serantau. - DagangNews.com