KUALA LUMPUR 12 Jan - PETRONAS telah memfailkan suatu notis usul di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya bertujuan untuk mendapatkan penjelasan mengenai kerangka kawal selia yang terpakai bagi operasi petroleum di Sarawak.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat minyak dan gas negara itu menamakan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak sebagai responden.
"Permohonan berkenaan difailkan dengan tujuan memastikan PETRONAS terus beroperasi selaras dengan kerangka kawal selia serta amalan tadbir urus yang baik.
"Permohonan tersebut tidak berhasrat untuk mencabar aspirasi pembangunan Sarawak mahupun menghalang peranan yang dimainkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dalam sektor tenaga di negeri tersebut," kata kenyataan itu.
PETRONAS berkata, keputusan memfailkan usul tersebut dibuat susulan perbincangan serta rundingan yang berjalan semenjak tahun 2024 bersama Petros serta Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
"Meskipun terdapat kemajuan yang telah dicapai dalam rundingan komersial dan perkongsian, termasuklah pemeteraian Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) pada tahun 2020, namun masih terdapat perbezaan pendapat berhubung kerangka kawal selia yang terpakai kepada PETRONAS," katanya.
PETRONAS berharap semua pihak akan menghormati proses perundangan serta peranan sistem kehakiman negara dalam meneliti perkara ini.
PETRONAS juga menyeru semua pihak untuk tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan proses perundangan dan memberi ruang kepada Mahkamah Persekutuan untuk membuat penilaian sewajarnya berkenaan usul yang dikemukakan.
Sementara itu, PETRONAS tetap komited untuk melaksanakan operasinya dengan telus serta penuh tanggungjawab di Sarawak. Seluruh operasi akan terus berjalan seperti biasa.
PETRONAS akan terus memperkukuhkan hubungan dengan masyarakat dan industri di Sarawak serta bekerjasama ke arah memajukan aspirasi pembangunan Sarawak dan memelihara kemakmuran Malaysia.
PETRONAS kekal komited untuk memastikan komunikasi yang telus mengenai operasinya termasuk kegiatan usahasama syarikat. - DagangNews.com








