KUALA LUMPUR 21 Mei - Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd mencatat kerugian bersih sebanyak RM35.04 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26) berbanding keuntungan bersih RM81.03 juta pada tempoh sama tahun lalu, menurut syarikat itu dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia.
Bagi tempoh sama, Petron Malaysia merekodkan hasil sebanyak RM2.94 bilion. Bagaimanapun, angka tersebut lebih rendah berbanding RM3.67 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Petron Malaysia berkata, prestasi lemah 1QFY26 itu disebabkan gangguan operasi di Loji Penapisan Port Dickson selepas jeti produk syarikat runtuh ketika ribut Senyar pada November 2025.
Kumpulan berkata, penggantungan operasi pengeluaran di loji berkenaan memberi kesan ketara terhadap prestasi kewangan suku semasa.
Selain itu, konflik perang di Timur Tengah yang semakin memuncak turut menyebabkan peningkatan kos bekalan dan tekanan terhadap operasi syarikat.
Petron Malaysia berkata, selain kekal memberi fokus terhadap pemulihan operasi Loji Penapisan Port Dickson , syarikat kekal komited memastikan keterjaminan bekalan bahan api domestik menerusi import sepenuhnya produk bahan api.
“Jumlah jualan runcit meningkat 4% berbanding tempoh sama tahun lalu, namun jumlah keseluruhan jualan merosot dengan ketara akibat ketiadaan pengeluaran di loji penapisan Port Dickson,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut syarikat, penanda aras minyak mentah Dated Brent melonjak kepada AS$104 setong pada Mac 2026 berbanding purata AS$71 setong pada Februari sebelum konflik perang tercetus, mewakili peningkatan sebanyak 46%.
Walaupun harga minyak lebih tinggi, hasil syarikat susut 20% kepada RM2.9 bilion disebabkan jumlah jualan yang lebih rendah.
Petron Malaysia berkata, ketiadaan margin penapisan serta peningkatan kos import produk siap turut menyebabkan syarikat mencatat kerugian kasar sebanyak RM3.3 juta bagi tempoh tersebut.
Jeti Baharu Dijangka Siap Akhir 2026
Dalam menghadapi keadaan pasaran yang mencabar, syarikat melaksanakan langkah pengurusan kos dan penjimatan sumber secara berdisiplin bagi mengekalkan ketahanan operasi.
Pada masa sama, usaha menggantikan jeti yang rosak turut mencatat kemajuan positif dan menyasarkan kemudahan baharu itu siap sebelum akhir tahun ini.
Katanya, beberapa pengaturan baharu dan penambahbaikan operasi sedang dilaksanakan bagi membolehkan operasi penapisan disambung semula meskipun berdepan kekangan bekalan minyak mentah dan ketiadaan jeti produk.
Pengerusi Petron Malaysia, Ramon S. Ang berkata, syarikat kekal fokus memenuhi komitmen terhadap keterjaminan tenaga negara walaupun pasaran global terus tidak menentu.
“Kami yakin disiplin kewangan serta ketahanan operasi yang terbukti akan membolehkan kami mengharungi cabaran semasa,” katanya.
Beliau berkata, Petron Malaysia juga akan terus memberi tumpuan kepada pertumbuhan jangka panjang menerusi peluasan rangkaian runcit, pembinaan loji Palm Oil Methyl Ester di Port Dickson bagi meningkatkan pengeluaran biodiesel mampan serta inisiatif pengoptimuman operasi penapisan dan pengedaran. - DagangNews.com








