Pesona Metro raih kontrak RM248 juta bina tiga blok hospital di Setia Alam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pesona Metro raih kontrak RM248 juta bina tiga blok hospital di Setia Alam

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Julai – Pesona Metro Holdings Bhd memperoleh kontrak bernilai RM247.5 juta daripada Setia Alam Medical Centre Sdn Bhd untuk membina tiga blok hospital swasta di Setia Alam, Selangor.

 

Kontrak itu dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, Pesona Metro Sdn Bhd yang akan bertanggungjawab melaksanakan keseluruhan kerja pembinaan termasuk penyediaan kemudahan sokongan hospital.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Pesona Metro berkata projek tersebut merangkumi pembinaan tiga blok hospital, kemudahan sokongan, bilik mekanikal dan elektrikal (M&E), selain tempat letak kereta termasuk parkir bawah tanah.

 

“Kerja pembinaan dijadual bermula pada 28 Julai 2026 dan dijangka siap sepenuhnya pada 28 Januari 2029.

 

“Kontrak baharu itu dijangka menyumbang kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh pembinaan projek berkenaan,” katanya.

 

Pembangunan Lengkap Dengan Kemudahan Sokongan

Blok A akan dibina sebagai bangunan hospital setinggi 15 tingkat, manakala Blok B akan mempunyai lapan tingkat ruang hospital serta beberapa tingkat yang menempatkan kemudahan parkir.

 

Blok C pula akan merangkumi tiga tingkat ruang hospital dan lima tingkat parkir bagi memenuhi keperluan pesakit, kakitangan serta pelawat.

 

Setia Alam Medical Centre Sdn Bhd merupakan anak syarikat kepada Mega First Corporation Bhd yang mengendalikan pusat perubatan swasta di Setia Alam.


Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, Pesona Metro mencatatkan prestasi kewangan lebih kukuh dengan hasil meningkat 38% kepada RM705.9 juta berbanding RM511.9 juta pada tahun sebelumnya.

 

Peningkatan itu dipacu oleh kemajuan projek pembinaan serta sumbangan lebih tinggi daripada pembangunan hartanah.

 

Daripada segi struktur pendapatan, segmen pembinaan kekal sebagai penyumbang terbesar dengan kira-kira 68 hingga 69 peratus daripada jumlah hasil, diikuti segmen pembangunan hartanah sekitar 28 peratus, manakala selebihnya disumbang oleh segmen konsesi yang stabil. - DagangNews.com