KUALA LUMPUR 22 Okt – Kerajaan menegaskan peniaga kecil termasuk kedai runcit kampung tidak terpinggir daripada menikmati manfaat program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang dilaksanakan bagi membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, kerajaan kekal konsisten memastikan kedai runcit persendirian turut menerima limpahan ekonomi daripada pelaksanaan program berkenaan.
Beliau berkata, setakat 21 Oktober 2025, jumlah Rakan Niaga SARA telah meningkat kepada 8,400 buah kedai di seluruh negara berbanding hanya 700 kedai pada tahun 2024 dan jumlah ini dijangka terus bertambah.
Katanya, ia merangkumi pasar raya, kedai runcit, kedai koperasi dan pasar mini di kawasan bandar, luar bandar serta pedalaman bagi memastikan penerima mendapat akses mudah terhadap bantuan.
“Bagi memperluas capaian, pelaksanaan program di lapangan turut digabungkan dengan Program Jualan Rahmah.
“Melalui pendekatan ini, penerima bukan sahaja menikmati harga barangan lebih murah tetapi juga boleh membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad di premis Rakan Niaga SARA yang juga merupakan operator Jualan Rahmah, kebanyakannya terdiri daripada kedai runcit persendirian.
“Penetapan kedai dan pasar raya Rakan Niaga SARA turut mengambil kira bilangan penerima di kawasan luar bandar dan pedalaman dengan jarak sekurang-kurangnya 10 kilometer antara satu sama lain, sekali gus membuka peluang luas kepada kedai runcit tempatan untuk menyertai program ini,” katanya menjawab soalan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) di Parlimen hari ini.

Program SARA merupakan bantuan tanpa tunai dalam bentuk kredit melalui MyKad yang boleh digunakan di kedai-kedai terpilih yang berdaftar sebagai Rakan Niaga SARA bagi membeli barangan keperluan asas.
Pendekatan ini membolehkan kerajaan memantau pelaksanaan program dan memastikan bantuan digunakan bagi tujuan ditetapkan.
Tambahnya, peningkatan peruntukan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA setiap tahun membuktikan komitmen kerajaan memperkukuh jaringan keselamatan sosial.
Pada tahun 2026, sebanyak RM15 bilion diperuntukkan untuk STR dan SARA berbanding RM10 bilion pada tahun 2024.
“Sesi libat urus bersama persatuan peniaga dan agensi berkaitan dilaksanakan bagi memastikan kedai runcit persendirian serta koperasi turut serta sebagai Rakan Niaga SARA.
“Antara koperasi yang telah menjadi rakan niaga ialah Koperasi Penjara Berhad (KOPEN), Koperasi FELCRA dan Koperasi FELDA Sungai Koyan 2,” katanya.
Kategori barangan di bawah SARA ketika ini melibatkan 14 kategori dengan 100,000 jenis barangan termasuk produk buatan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.
Tambahnya, kerajaan kekal komited dan sentiasa memantau pelaksanaan bantuan tunai agar disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan dalam mendepani cabaran kos sara hidup semasa. - DagangNews.com








