KUALA LUMPUR 19 Feb – Prestasi operasi Perak Transit Bhd dijangka kekal stabil dalam tempoh terdekat, disokong permintaan berdaya tahan terhadap perkhidmatan pengangkutan awam jarak terakhir ke destinasi yang menawarkan nilai untuk wang, kata BIMB Securities,
Menurut firma penyelidikan itu, berita mengenai syarikat itu sepanjang suku semasa adalah agak tenang tanpa sebarang petunjuk pelupusan saham secara paksa, sekali gus mencerminkan kedudukan kewangan dan operasi syarikat yang berada dalam keadaan baik.
“Pasaran masih belum menilai semula saham ini. Namun, sekiranya keadaan kekal stabil untuk tempoh lebih panjang, kami percaya penilaian semula secara senyap sedang berlaku,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
BIMB Securities berkata, syarikat itu terus menjana aliran tunai positif, menunjukkan daya tahan operasi serta berada di landasan kukuh untuk mencatat pertumbuhan yang konsisten, seumpama ciri syarikat utiliti.
Antara pemangkin utama yang dikenal pasti termasuk pertumbuhan trafik pengunjung yang konsisten sekitar 3% hingga 4% setahun serta peluasan berterusan kemudahan sedia ada.
Selain itu, kejayaan memperoleh lanjutan konsesi daripada pengawal selia turut mengukuhkan keterlihatan pendapatan jangka panjang.
Firma itu turut berpandangan prospek terminal bas baharu di Kota Bharu berpotensi menyumbang secara positif kepada prestasi kumpulan pada masa hadapan.
Sehubungan itu, firma tersebut mengekalkan saranan BELI dengan harga sasaran RM0.68 berdasarkan penilaian aliran tunai terdiskaun (DCF) 10 tahun ke hadapan.
Saham syarikat kini diniagakan pada kurang daripada empat kali gandaan pendapatan setahun ke hadapan dengan kadar hasil dividen sekitar 9%.
Bagi keputusan kewangan, BIMB Securities meramalkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti bagi suku keempat tahun kewangan 2025 (4QFY25) diunjurkan meningkat 0.6% tahun ke tahun kepada RM19.9 juta, menjadikan keseluruhan keuntungan FY25 dianggarkan sebanyak RM79.4 juta.
Suku keempat lazimnya merupakan tempoh paling kukuh didorong musim cuti hujung tahun dan perayaan.
Dari sudut sektor, BIMB Securities menilai prospek pengangkutan darat sebagai positif berikutan ia merupakan sebahagian daripada naratif pertumbuhan asas negara, ditambah dengan pelancaran laluan baharu yang meningkatkan lagi daya tarikan mod pengangkutan tersebut di seluruh negara.
BIMB Securities turut memberikan perhatian kepada isu penghutang perdagangan yang tinggi direkodkan pada suku ketiga FY25, melibatkan pelanggan bermasalah yang kini berada dalam pelan pembayaran semula.
Katanya, pelabur dijangka memberi tumpuan kepada isu. Jumlah penghutang tertekan dianggarkan sekitar RM30 juta, bersamaan kira-kira 40% daripada unjuran pendapatan FY25.
Bagaimanapun, firma itu mengambil pendekatan berhati-hati optimistik dengan menyatakan pembayaran balik sedang berjalan dan tidak menjangkakan sebarang kemerosotan nilai direkodkan. - DagangNews.com








