Pertumbuhan gaji hambar, kos operasi meningkat, Kenanga Research kekalkan saranan Neutral ke atas sektor pengguna  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan gaji hambar, kos operasi meningkat, Kenanga Research kekalkan saranan Neutral ke atas sektor pengguna 

Gambar: Naim Aziz/DagangNews
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 7 Okt – Penganalisis pasaran mengekalkan saranan Neutral terhadap sektor pengguna, di tengah-tengah sentimen pengguna yang kekal lemah disebabkan pertumbuhan gaji sebenar yang hambar serta kos operasi yang semakin meningkat.

 

Firma penyelidikan Kenanga Research berkata, data terkini daripada Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan gaji sebenar mencatat penurunan sebanyak 1.9% antara suku pertama tahun 2020 (1QCY20) dan suku pertama tahun 2025 (1QCY25), memberi tekanan kepada kuasa beli isi rumah.

 

"Walaupun ketidaktentuan dasar utama khususnya berhubung rasionalisasi subsidi petrol RON95 telah mula reda, ia hanya dijangka menstabilkan sentimen pengguna tanpa mendorong pemulihan permintaan yang ketara dalam masa terdekat," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut Kenanga, tekanan kos yang berpunca daripada dasar kerajaan termasuk peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), tarif elektrik yang lebih tinggi serta peningkatan caruman KWSP bagi pekerja asing dijangka memberi tekanan ke atas margin keuntungan pemain industri. 

 

Namun begitu, sokongan fiskal berterusan melalui bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), serta pengukuhan ringgit (MYR), dijangka dapat mengimbangi sebahagian tekanan tersebut.

 

"Penting untuk diperhatikan bahawa Bajet 2026 yang bakal dibentangkan berkemungkinan memperkenalkan langkah-langkah baharu sokongan pendapatan, termasuk cadangan pemberian bonus kepada penjawat awam serta peluasan bantuan tunai STR, yang berpotensi meningkatkan pendapatan boleh guna, terutamanya dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah," kata firma itu.

 

Dalam persekitaran semasa, Kenanga melihat potensi dalam syarikat-syarikat yang memberi tumpuan kepada nilai dan pasaran massa, yang mampu menarik pengguna yang semakin berhati-hati dalam perbelanjaan.

 

"Saham MRDIY (Saranan OP; TP: RM2.04) dan AEON (Saranan OP; TP: RM1.55) kekal sebagai pilihan utama kami.

 

"MRDIY menonjol melalui tawaran nilai untuk wang yang kukuh serta kelebihan kos yang berpaksikan skala operasi yang besar. 

 

"Sementara itu, AEON, yang kini diniagakan pada penilaian menarik susulan kelembapan bermusim pada suku kedua dan ketiga, menawarkan pendedahan kepada trend penggunaan pasaran massa menerusi perluasan portfolio jenama miliknya serta strategi naik taraf pusat beli-belah," kata firma itu. - DagangNews.com