KUALA LUMPUR 12 Mac — Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2025 berada dalam lingkungan 4.5 peratus hingga 5.0 peratus, dengan menzahirkan sentimen positif ekonomi secara keseluruhan.
Pemangku Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim berkata, perkembangan itu selaras dengan kerangka Ekonomi Madani didorong perbelanjaan isi rumah yang kukuh dan disokong keadaan pasaran buruh yang stabil.
Beliau merujuk Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia tahun ke tahun malah meningkat kepada 5.1 peratus pada 2024, sejajar dengan unjuran bank berkenaan iaitu antara 4.3 peratus hingga 5.3 peratus dengan turut disokong oleh pelbagai faktor.
"Antaranya ialah kemasukan aliran pelaburan yang teguh serta pemulihan perdagangan luar. Berdasarkan momentum positif ini, kami menjangkakan KDNK Malaysia bagi 2025 akan mencatatkan pertumbuhan antara 4.5 peratus hingga 5.0 peratus," katanya dalam satu kenyataan.
Sejajar dengan komitmen SME Bank sendiri ke arah memperkasa seluruh ekosistem Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), institusi itu terus menyediakan sokongan pembiayaan dan melangkaui pembiayaan bertujuan memperkasa dan merangka pembangunan PKS.
Bank berkenaan kata Mohammad Hardee juga berbangga kerana terus diberi kepercayaan daripada kerajaan dengan program baharu dan sedia ada seperti mana yang dimandatkan dalam Belanjawan 2025 merentasi pelbagai sektor strategik utama seperti aspek Bumiputera dan teknologi.

Selain itu, penekanan peruntukan kerajaan juga meliputi isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), halal dan pelancongan yang merupakan sebahagian daripada pemangkin untuk menyokong pemangkin serantau seterusnya menyumbang peningkatan ekonomi secara menyeluruh.
Dalam pada itu, Ketua Pakar Ekonomi SME Bank, Lynette Lee Li Qing ketika mengulas isu tersebut turut menjangkakan pertumbuhan KDNK pada 2025 akan terus didorong perkembangan dalam sektor perkhidmatan, yang kekal sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi.
"Ini menerima sokongan berterusan daripada subsektor berkaitan pengguna dan perniagaan. Justeru melangkah ke hadapan, kami kekal optimistik dengan unjuran perkembangan prestasi keseluruhan Malaysia pada tahun 2025 yang berlandaskan daripada faktor luaran," katanya.
Antaranya pertumbuhan KDNK kurang pesat dalam kalangan rakan dagang utama, potensi berlanjutan perang perdagangan Amerika Syarikat–China dan peningkatan dasar perlindungan global, ketidakstabilan konflik geopolitik serta pengeluaran dan harga komoditi yang lebih rendah daripada anggaran asal. - DagangNews.com








