Pertumbuhan Aurelius Technologies dijangka terus positif disokong buku pesanan lebih kukuh - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan Aurelius Technologies dijangka terus positif disokong buku pesanan lebih kukuh - Maybank IB

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 Dis – Aurelius Technologies Berhad dijangka terus mencatat pertumbuhan, walaupun suku ketiga 2025 mencatat prestasi lebih lemah berbanding jangkaan, menurut Maybank Investment Bank. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan teras 9 bulan pertama 2025 syarikat tersebut meningkat 19% kepada RM49 juta, disokong oleh sumbangan lebih kukuh daripada segmen Komunikasi & IoT serta komponen semikonduktor. 

 

“Bagaimanapun, prestasi peranti elektronik yang lemah dan kelembapan mata wang AS menjejaskan keuntungan suku ketiga.  

 

“Kami mengekalkan saranan Beli bagi Aurelius Technologies Berhad, tetapi menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM1.17 berbanding RM1.19 sebelum ini.

 

“Momentum separuh kedua 2025 mungkin terhad, tetapi pertumbuhan syarikat dijangka disokong oleh pendedahan global, pelanggan unik serta prospek pertumbuhan yang kukuh,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.

 

Syarikat itu mencatat pendapatan 9MFY25 sebanyak MYR462 juta, naik 4% daripada tahun sebelumnya, dengan majoriti pendapatan berasal dari Amerika (59%) dan Malaysia (24%).  

 

Bagi suku ketiga 2025, pendapatan syarikat itu menurun 7% berbanding suku kedua kepada RM152 juta, berbeza daripada corak tipikal separuh kedua tahun yang biasanya lebih kukuh.

 

Penurunan ini disebabkan sumbangan lebih lemah daripada segmen komunikasi & IoT (-3% QoQ) dan peranti elektronik (-48% QoQ), walaupun jualan komponen semikonduktor meningkat 18% QoQ.  

 

Maybank IB berkata, keuntungan teras syarikat turut menurun 16% QoQ kepada MYR14 juta, dipengaruhi oleh kelemahan mata wang AS dan kadar cukai lebih tinggi selepas tamat insentif cukai.

 

“Walaupun prestasi suku ketiga lemah, Aurelius Technologies masih menunjukkan prospek yang positif bagi separuh kedua tahun ini.  

 

“Ini termasuk pertambahan buku pesanan syarikat daripada RM436 juta pada suku kedua kepada RM457 juta pada suku ketiga, menandakan permintaan pelanggan yang stabil dan potensi pertumbuhan masa depan,” katanya. - DagangNews.com