Pertumbuhan 2H25 sektor pembuatan dijangka lembap akibat tekanan kos dan permintaan lemah - FMM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan 2H25 sektor pembuatan dijangka lembap akibat tekanan kos dan permintaan lemah - FMM

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 17 Sept  – Sektor pembuatan Malaysia dijangka berdepan pemulihan yang perlahan dan mencabar dalam separuh kedua 2025 (2H25), didorong oleh tekanan kos yang berterusan dan jangkaan permintaan yang semakin lemah, menurut Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

 

Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diperluas mulai 1 Julai 2025, bersama kenaikan tarif elektrik industri serta ketidaktentuan geopolitik seperti tarif dagangan oleh Amerika Syarikat (AS) menjadi antara faktor utama yang membebankan industri.

 

“Syarikat kini beralih daripada sikap berhati-hati kepada fasa pengukuhan dan konsolidasi. Pemain industri lebih defensif dengan tumpuan kepada kecekapan dan pengurusan risiko,” katanya dalam kenyataan media yang disiarkan di Facebook FMM hari ini.

 

Kenyataan media itu bertujuan mengumum hasil Tinjauan Keadaan Perniagaan FMM bagi 1H25 yang dijalankan pada 2 Julai lalu melibatkan 627 responden dari seluruh negara.

 

Soh Lan menjelaskan peluasan SST telah memberi kesan langsung kepada struktur kos pengeluar, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

 

Katanya, hampir separuh responden melaporkan impak ketara termasuk enaikan kos operasi, beban pematuhan yang tinggi dan kompleksiti dalam pengurusan transaksi dan sistem.

 

Antara isu kritikal yang dibangkitkan ialah pengelasan produk yang tidak jelas, layanan terhadap pembekalan campuran dan pengecualian input yang tidak dapat dituntut.

 

“Syarikat menghadapi tekanan akibat perkhidmatan yang kini dikenakan cukai, kesukaran mendapatkan pengecualian, keperluan naik taraf sistem dan tafsiran kastam yang rumit,” jelas beliau.

 

Sehubungan itu, FMM menggesa kerajaan untuk melaksanakan langkah-langkah sokongan bersasar termasuk pengecualian input penting, panduan pengelasan yang lebih jelas, sokongan peralihan yang kukuh dan khidmat nasihat serta bantuan teknikal.

 

FMM turut memandang serius impak perang perdagangan AS-China yang masih belum berakhir, terutamanya jika AS mengenakan tarif lebih tinggi ke atas barangan dari China. 

 

"Ini berpotensi menolak eksport China ke pasaran ASEAN, termasuk Malaysia. Malaysia berisiko berdepan lambakan import murah dari China. Ini akan mencetuskan persaingan tidak seimbang, terutamanya bagi PKS tempatan,” ujarnya lagi.

 

Beliau turut menekankan bahawa bukan sahaja China, malah negara seperti Jepun, Korea Selatan dan blok Kesatuan Eropah juga sedang mensasarkan ASEAN sebagai pasaran alternatif susulan ketidaktentuan global.

 

FMM melaporkan prestasi sektor pembuatan dalam 1H25 menunjukkan kelemahan ketara berbanding pertumbuhan pada 2024. 

 

Indeks aktiviti perniagaan, jualan dan pengeluaran menunjukkan penurunan sederhana didorong oleh kenaikan kos bahan mentah dan permintaan pasaran yang tidak stabil.

 

Walau bagaimanapun, kadar pekerjaan kekal stabil dengan kebanyakan firma mengekalkan tenaga kerja. Pelaburan modal pula terus berjalan pada kadar sederhana, tetapi selera untuk pengembangan telah merosot.

 

“Indeks kos pengeluaran meningkat kepada 158 daripada 144, menunjukkan tekanan kos yang berterusan meskipun pada kadar yang sederhana. Dua pertiga responden melaporkan kos lebih tinggi,” tambah beliau.

 

Keseluruhannya, para pengilang kini beralih kepada pendekatan bertahan (defensive stance) dengan tumpuan kepada konsolidasi operasi, kesinambungan perniagaan dan pengurusan kos dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran global. - DagangNews.com