Perniagaan Malaysia mampu keluar daripada perangkap 'beli murah, jual murah' - Steven Sim | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perniagaan Malaysia mampu keluar daripada perangkap 'beli murah, jual murah' - Steven Sim

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 4 Mei - Ekosistem perniagaan Malaysia mampu keluar daripada perangkap ‘beli murah, jual murah’, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim Chee Keong.

 

Beliau berkata, apa yang diperlukan ialah syarikat tempatan perlu membina jenama kukuh, melabur dalam teknologi, membangunkan bakat dan melonjak dalam rantaian nilai.  

 

"Ini adalah model syarikat yang ingin kita sokong dan Glide mewakili kriteria itu," katanya pada majlis penyerahan kemudahan pembiayaan bernilai RM2.5 juta daripada SME Bank di bawah Program Pembiayaan MySMELady 2.0 kepada Glide Technology Sdn Bhd di Shah Alam, hari ini.

 

Pembiayaan yang diberikan di bawah inisiatif Dana Ekonomi Usahawan Wanita (DEWI) akan disalurkan untuk pembelian peralatan makmal, peluasan mesin pengeluaran, serta menaik taraf infrastruktur elektrik syarikat daripada 400A kepada 1400A. 

 

Pelaburan ini akan menyokong pengeluaran berskala besar produk utama syarikat iaitu minyak transformer berasaskan sawit MPOB-Glide dan rangkaian produk berjenama bersama PETRONAS Tranol Glide.

 

Steven Sim berkata Glide Technology, sebuah syarikat yang telah mencapai kejayaan dalam pembuatan berteknologi tinggi, membuktikan komitmen KUSKOP untuk membangunkan lebih banyak syarikat diterajui wanita dalam industri bernilai tinggi melalui DEWI.

 

Beliau berkata syarikat itu telah membuktikan keupayaan bertaraf dunia melalui kerjasama dengan PETRONAS dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), menghasilkan minyak penebat premium serta minyak transformer berasaskan sawit untuk kegunaan industri, di samping mengeluarkan pelincir automotif jenama tempatan pada harga kompetitif.

 

Sementara itu, Presiden Glide Technology, Datuk Muhazli Muhamad berkata, kemudahan pembiayaan ini memperkukuh asas yang telah syarikat bina hampir dua dekad.

 

"Produk buatan Malaysia, perkongsian institusi Malaysia, dan cita-cita perindustrian Malaysia. 

 

"Kami komited untuk menyalurkan setiap ringgit dengan bertanggungjawab dan menunaikan kepercayaan yang diletakkan terhadap kami,” katanya.

 

Ketua Pegawai Kewangan Glide Group of Companies, Datin Zarita Azlin Ibrahim, berkata pembiayaan RM2.5 juta di bawah MySMELady 2.0 ini membolehkan Glide menyalurkan modal dengan disiplin terhadap keutamaan yang telah dikenal pasti dengan jelas.

 

“Peranan kami adalah memastikan setiap ringgit disalurkan kepada kapasiti produktif, dengan piawaian tadbir urus kewangan dan pelaporan yang menyokong pertumbuhan jangka panjang kami,” katanya.

 

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Kumpulan Syarikat Glide, Yang Amat Mulia Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri Diraja Syed Razlan Ibni Syed Putra Jamalullail, .

 

Glide Technology merupakan sebuah PKS milik penuh Bumiputera dan antara pengeluar kontrak pelincir tempatan terkemuka di Malaysia.

 

Syarikat ini mempunyai operasi eksport aktif di Angola menerusi kerjasama dengan Etu Energias, memegang hak pengkomersilan eksklusif selama tujuh tahun di seluruh dunia daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk minyak transformer berasaskan sawit, dan merupakan rakan Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP) yang dilantik oleh PETRONAS Lubricants International.

 

MySMELady 2.0 adalah kemudahan pembiayaan patuh Syariah khusus daripada SME Bank untuk usahawan wanita, direka untuk menyokong perolehan aset dan keperluan modal kerja bagi mengangkat perniagaan dalam aspek kapasiti pengeluaran, penembusan pasaran, dan daya saing. - DagangNews.com