Permintaan lemah produk LED tekan prospek D&O Green Technologies, MBSB Research turun penarafan kepada ‘Jual’ | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permintaan lemah produk LED tekan prospek D&O Green Technologies, MBSB Research turun penarafan kepada ‘Jual’

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 23 April - Prospek jangka pendek yang suram dalam sektor automotif global mendorong MBSB Research menurunkan penarafan ke atas D&O Green Technologies Berhad kepada ‘Jual’ daripada ‘Neutral’, dengan harga sasaran lebih rendah pada RM0.39 berbanding RM0.43 sebelum ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, penilaian itu dibuat berikutan jangkaan keadaan pasaran automotif yang mencabar pada 2026 akan terus memberi tekanan kepada prestasi kumpulan, khususnya melalui permintaan yang lebih lemah bagi produk LED daripada pelanggan utama di Eropah dan China.

 

Penganalisis berpandangan walaupun D&O sedang meningkatkan pergantungan kepada produk baharu bagi mendapatkan kelebihan harga, langkah tersebut dijangka tidak mencukupi untuk menyokong pertumbuhan hasil dalam tempoh terdekat.

 

“Permintaan LED automotif dijangka terjejas selari dengan kelembapan jualan kenderaan global, terutamanya di pasaran utama kumpulan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

 

MBSB Research berkata, di China, permintaan kenderaan elektrik (EV) masih kekal kukuh, namun tekanan harga semakin ketara berikutan persaingan sengit dalam kalangan pengeluar tempatan. 

 

Kitaran pelancaran model yang semakin pendek juga dilihat boleh menjejaskan tempoh pulangan pelaburan kumpulan.

 

Sementara itu, pasaran automotif Eropah dijangka terus berdepan cabaran, dengan jualan kereta baharu bagi awal 2026 mencatatkan penguncupan tahun ke tahun. 

 

Tambahan pula, cadangan industri untuk melonggarkan sasaran iklim berpotensi menjejaskan pelancaran model EV mampu milik, sekali gus memberi kesan kepada permintaan LED.

 

Dari sudut positif, D&O menjangkakan sumbangan lebih tinggi daripada produk baharu seperti SpicePlus 2520 dan Smart RGB yang menawarkan harga jualan purata lebih tinggi. Smart RGB dijangka menyumbang kira-kira 15% daripada jumlah jualan pada 2026.

 

Dalam pada itu, pihak pengurusan memberi tumpuan kepada pelaksanaan langkah penjimatan kos termasuk peningkatan automasi operasi, pengurangan tenaga kerja sekitar 18% kepada kira-kira 2,300 pekerja, serta pengoptimuman kapasiti pengeluaran.

 

Usaha lain termasuk penambahbaikan hasil pengeluaran bagi mengurangkan pembaziran bahan mentah serta kepelbagaian pembekal bagi menurunkan kos input. Langkah-langkah ini dijangka mula menunjukkan hasil pada separuh kedua 2026.

 

Namun begitu, kumpulan dijangka terus merekodkan rosot nilai inventori berikutan pelarasan dasar inventori yang dilaksanakan sebelum ini, yang akan memberi tekanan kepada keuntungan bersih.

 

Sehubungan itu, unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 telah disemak turun antara 20% hingga 33%, mencerminkan jangkaan persekitaran operasi yang mencabar.

 

Dengan prospek yang kekal lemah, syarikat juga tidak dijangka mengumumkan sebarang pembayaran dividen dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com