Permintaan kukuh lelongan bon Sekuriti Kerajaan Malaysia 3, nisbah bidaan cecah 2.22 kali - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permintaan kukuh lelongan bon Sekuriti Kerajaan Malaysia 3, nisbah bidaan cecah 2.22 kali - Maybank IB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 16 Mac – Lelongan terbitan baharu Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) tempoh matang tiga tahun hari ini mencatat permintaan yang kukuh dengan nisbah bidaan kepada tawaran sebanyak 2.218 kali bagi saiz terbitan yang dijangka sekitar RM5 bilion.

 

Prestasi positif itu hadir susulan kejayaan lelongan Sukuk Kerajaan Malaysia (GII) 15 tahun minggu lalu yang turut menerima sambutan baik daripada pelabur.

 

Aktiviti bidaan dilihat mendapat sokongan daripada penyusutan hasil lebih daripada 5 mata asas sejak pengumuman lelongan, statusnya sebagai penanda aras baharu serta ketahanan relatif ringgit di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang berterusan di Timur Tengah.

 

Pegangan asing dalam bon denominasi ringgit dilaporkan tidak menentu sepanjang Mac, namun masih merekodkan aliran masuk bersih kecil sebanyak kira-kira RM100 juta setakat bulan ini. Prestasi itu mengatasi beberapa negara ASEAN lain seperti Indonesia dan Thailand yang masing-masing mencatatkan aliran keluar dana asing.

 

Dalam pasaran “when-issued” (WI), aktiviti dagangan dilihat aktif sepanjang tempoh sebelum lelongan. Hasil WI didagangkan sekitar 3.17% hingga 3.19% selepas pengumuman lelongan pada Rabu sebelum meningkat kepada kira-kira 3.24% pada Khamis.

 

Pada awal dagangan pagi ini, hasil sempat mencecah paras tertinggi sekitar 3.25% sebelum minat belian semula muncul menjelang lewat pagi, sekali gus menurunkan hasil WI kepada sekitar 3.235% menjelang penutupan dagangan.

 

Keputusan lelongan menunjukkan sokongan pelabur yang baik apabila hasil potongan (cut-off yield) dicatatkan pada 3.242%, dengan perbezaan kecil sekitar 0.5 mata asas berbanding purata hasil bidaan berjaya pada 3.237%.

 

Berdasarkan data lelongan, hasil tertinggi direkodkan pada 3.242%, manakala hasil terendah berada pada 3.230%.

 

Lelongan seterusnya dijadualkan melibatkan terbitan baharu Sukuk Kerajaan Malaysia (GII) tempoh matang tujuh tahun bagi Mac 2033. Jumlah terbitan dianggarkan sekitar RM5 bilion tanpa sebarang penempatan persendirian.

 

Butiran Lelongan MGS 3 Tahun

  • Nisbah bidaan kepada tawaran: 2.218 kali

  • Hasil tertinggi: 3.242%

  • Hasil purata: 3.237%

  • Hasil terendah: 3.230%

  • Hasil potongan: 3.242%

 

- DagangNews.com