Perjanjian Perdagangan dengan AS tidak jejas Dasar Nuklear Malaysia, Parlimen dimaklumkan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perjanjian Perdagangan dengan AS tidak jejas Dasar Nuklear Malaysia, Parlimen dimaklumkan

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 23 Jan - Malaysia masih boleh memperolehi atau membeli reaktor nuklear, bahan api nuklear dan barangan berkaitan nuklear daripada mana-mana negara walaupun telah menandatangani Perjanjian Timbal Balik Perdagangan (ART) dengan Amerika Syarikat, kata Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

 

Kementerian itu menjelaskan, Artikel 5.3 dalam ART tidak mengikat Malaysia secara eksklusif kepada AS atau mana-mana negara lain, dengan merujuk kepada penjelasan daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian.

 

“Artikel 5.3 perlu dibaca secara keseluruhan, di mana ayat penutup klausa tersebut membolehkan Malaysia membuat keputusan perolehan berdasarkan pertimbangan komersial, teknikal dan keselamatan, sejajar dengan kepentingan negara,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

 

“Kami tidak mengehadkan kerjasama Malaysia dengan negara lain dalam bidang tenaga nuklear, termasuk latihan, penyelidikan, keselamatan, radiasi dan lain-lain,” tambah kementerian itu.

 

Kementerian menegaskan bahawa kedaulatan dasar nuklear dan tenaga Malaysia kekal terpelihara.

 

ART, katanya, tidak menjejaskan pelan tindakan bagi dasar nuklear Malaysia.

 

“Kami kekal komited memastikan semua kerjasama berkaitan nuklear dijalankan selaras dengan kepentingan dan keselamatan negara,” katanya.

 

“Malaysia akan terus mengamalkan pendekatan seimbang dan neutral apabila mempertimbangkan sebarang potensi kerjasama teknologi nuklear, sambil mematuhi undang-undang dan peraturan antarabangsa,” tambah kementerian itu.

 

Kenyataan ini adalah bagi menjawab soalan Azli Yusof (PH–Shah Alam), yang bertanya sama ada ART, khususnya Artikel 5.3, boleh mengehadkan perolehan bahan berkaitan nuklear daripada “sesetengah negara” dan sama ada ia akan mengubah hala tuju dasar nuklear Malaysia.

 

Malaysia dan AS menandatangani ART pada 26 Oktober 2025 semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur. - DagangNews.com