KUALA LUMPUR 22 Okt – MAB Engineering Services menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Sokongan (SSA) dengan MTU Maintenance Zhuhai Co. Ltd untuk memperkukuh kerjasama kedua-dua pihak bagi meningkatkan keupayaan Sokongan di Tapak (OSS) dan mengukuhkan kedudukan MAB Engineering Services sebagai penyedia utama kepakaran penyelenggaraan enjin di rantau ini.
Perjanjian itu kesinambungan kepada Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada Oktober 2023 yang menjadi asas kepada kerjasama strategik antara kedua-dua syarikat.
Di bawah MoU itu, MTU bersetuju untuk menyokong MAB Engineering Services dengan bantuan pengurusan projek bagi penubuhan OSS, latihan pekerja dan pembangunan saluran jualan.
Perjanjian baharu ini juga mencerminkan keyakinan bersama terhadap potensi pertumbuhan pasaran penyelenggaraan penerbangan di rantau Asia Pasifik.
Dengan termeterainya perjanjian ini, kerjasama tersebut kini memasuki fasa pelaksanaan.
Ketua Pegawai Operasi MAB Engineering Services, Eke Nazri Rahim berkata, perjanjian itu adalah satu pencapaian penting bagi MAB Engineering Services dalam memperkukuh keupayaan teknikalnya.
“Dengan kepakaran global dan rangkaian luas MTU, MAB Engineering Services dapat mempercepatkan pertumbuhan keupayaan, memacu penciptaan nilai jangka panjang dan memantapkan kedudukan sebagai rakan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) yang dipercayai bagi syarikat penerbangan serantau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MAB Engineering Services komited untuk mencapai tahap kesiapsiagaan bagi penyelenggaraan OSS ke atas enjin CFM56-5B dan CFM56-7B menjelang Julai 2026.
Usaha ini disokong oleh kelulusan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), selain kelulusan tambahan daripada beberapa pengawal selia Asia Tenggara menjelang akhir tahun ini.

Kesiapsiagaan bagi enjin V2500 dirancang menjelang 2027, diikuti enjin LEAP pada 2028, sekali gus mengukuhkan kepakaran MAB Engineering Services dalam penyelenggaraan beberapa jenis enjin paling banyak digunakan dalam industri penerbangan.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MTU Maintenance Zhuhai, Gert Wagner berkata, pihaknya akan menyediakan panduan pengurusan projek yang tersusun, program latihan komprehensif untuk kakitangan MAB Engineering Services dan sokongan jualan terus bagi membantu syarikat membangunkan saluran jualan jangka panjang yang kukuh di rantau ini.
“MTU Maintenance Zhuhai merupakan penyedia perkhidmatan MRO terbesar di dunia bagi enjin pesawat badan sempit (narrowbody) berdasarkan jumlah kunjungan bengkel dan pakar enjin mereka secara rutin melaksanakan kerja penyelenggaraan di tapak.
“MAB Engineering Services dan Malaysia Airlines Berhad, kedua-duanya di bawah Malaysia Aviation Group (MAG), merupakan rakan rapat kami dan kami berbesar hati untuk berkongsi kepakaran serta pandangan kami dalam projek ini.
“Pasaran penerbangan di Asia merupakan yang paling pesat berkembang di dunia dan permintaan terhadap kapasiti penyelenggaraan dijangka terus meningkat. Inilah yang kami tangani melalui kerjasama ini,” tambahnya.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, pasukan pakar perkhidmatan ON-SITEPlus MTU Maintenance dari Australia, Brazil dan Jerman telah menjalankan projek penggantian bilah penanda aras bagi turbin tekanan tinggi ke atas 20 enjin CFM56-7 milik Malaysia Airlines.
Kerjasama ini menyerlahkan komitmen MAB Engineering Services untuk memperkukuh keupayaan kejuruteraan, meningkatkan daya saing dalam industri yang sedang berkembang pesat, serta membina asas kukuh bagi pertumbuhan mampan dan pengukuhan kehadiran serantau dalam bidang sokongan penyelenggaraan enjin di tapak.
Langkah strategik ini memanfaatkan pasaran penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) Asia Pasifik yang dianggarkan bernilai lebih AS$25 bilion, dengan potensi lebih 4,000 enjin dalam perkhidmatan dan enjin gantian termasuk CFM56-5 dan -7 serta V2500-A5, selain tempahan kukuh melebihi 2,400 enjin LEAP-1A/B. - DagangNews.com








