Perincian Lebuh Raya Pantai Barat seksyen selatan dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan April ini - Exco Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perincian Lebuh Raya Pantai Barat seksyen selatan dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan April ini - Exco Johor

KUALA LUMPUR 6 Jan - Perincian projek Lebuhraya Pantai Barat (WCE), seksyen selatan yang bertujuan mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), sedang dimuktamadkan untuk dikemukakan kepada kerajaan persekutuan pada April, kata Ahli Majlis Eksekutif Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri itu berkata, butiran tersebut akan membantu menentukan garis masa projek serta proses perolehan.

 

Beliau menambah kajian kebolehlaksanaan projek telah disiapkan pada Disember lalu melalui perbincangan antara Kementerian Kerja Raya dan kerajaan negeri.

 

“Insya-Allah, jika tiada sebarang isu, bahagian selatan WCE akan siap dalam tempoh 48 bulan setelah semua proses yang diperlukan dimuktamadkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

 

Beliau turut berkata kerajaan negeri telah mencadangkan 13 persimpangan sepanjang projek sepanjang 153.3 kilometer itu bagi membantu merancakkan ekonomi setempat.

 

“Jika kita mengikut keutamaan, kami mencadangkan untuk membina tujuh persimpangan terlebih dahulu, termasuk Sungai Terap (Muar), Parit Sulong (Batu Pahat) dan Pekan Nenas (Pontian),” katanya.

 

Mohamad Fazli berkata lebuh raya itu, yang akan menghubungkan Banting, Selangor, melalui Negeri Sembilan dan Melaka ke Lebuhraya Second Link di Gelang Patah, akan menawarkan laluan alternatif yang lebih pantas dan efisien kepada pengguna jalan raya.

 

Beliau berkata lebuh raya itu juga akan memperluas akses ke pantai barat Johor dan membantu mengalihkan kira-kira 27 peratus trafik, iaitu sekitar 35,000 kenderaan sehari yang masuk dan keluar dari Lebuhraya PLUS, terutamanya semasa musim perayaan dan cuti sekolah. - BERNAMA