KUALA LUMPUR 11 Feb – Perdana Petroleum Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM56.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (TK2025), susut 62% berbanding RM146.1 juta yang direkodkan tahun sebelumnya susulan penurunan hasil dan kadar penggunaan kapal.
Hasil kumpulan merosot 37% kepada RM279.1 juta daripada RM440.1 juta pada TK2024, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) berkurang kepada RM79.4 juta berbanding RM183.8 juta sebelum ini.
Kadar penggunaan kapal (vessel utilisation) turut menurun kepada 52% berbanding 70% tahun lalu, mencerminkan tahap aktiviti yang lebih rendah dalam pasaran perkhidmatan sokongan marin luar pesisir (OSV).
Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025 (4Q2025), kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM48.4 juta, turun 46% daripada RM89 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Perdana Petroleum mencatatkan kerugian selepas cukai sebanyak RM1.8 juta, berbanding keuntungan RM29.5 juta pada 4Q2024.
Pendapatan sesaham (EPS) asas bagi TK2025 susut kepada 2.52 sen berbanding 6.57 sen tahun lalu.
Bagaimanapun, kedudukan tunai kumpulan kekal kukuh dengan tunai dan setara tunai meningkat 36% kepada RM161.1 juta setakat 31 Disember 2025.
Pengarah Urusannya, Jamalludin Obeng berkata, walaupun TK2025 bermula dengan prestasi lebih sederhana, aktiviti luar pesisir secara keseluruhan masih menyokong tahap penggunaan kapal dalam pasaran OSV yang relatif seimbang.
Menurutnya, permintaan domestik terhadap OSV kekal stabil disokong komitmen berterusan PETRONAS dalam mengekalkan operasi huluan, namun landskap operasi masih berdepan ketidaktentuan yang boleh menjejaskan masa pelaksanaan projek dan penganugerahan kontrak.
Beliau turut menekankan isu armada OSV yang semakin berusia serta kadar pembinaan kapal baharu yang perlahan dalam industri, sambil menyatakan kumpulan akan menilai peluang pembaharuan armada secara berhemah selaras dengan keupayaan kewangan.
Dalam pada itu, persekitaran operasi dijangka kekal mencabar susulan tekanan kadar dan kos, turun naik mata wang serta ketidaktentuan geopolitik global yang boleh mempengaruhi harga minyak dan corak perbelanjaan pelanggan.
Perdana Petroleum berkata, pihaknya akan terus memberi tumpuan kepada disiplin operasi, pengoptimuman kos dan penempatan kapal secara berhemat bagi menyokong kemampanan dan pertumbuhan jangka panjang. - DagangNews.com








