KUALA LUMPUR 12 Mac – Jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatat prestasi kukuh pada Januari 2026 iaitu sebanyak RM159.8 bilion, meningkat 7.3% berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Pertumbuhan ini menunjukkan permintaan pengguna dan aktiviti perniagaan yang semakin tinggi pada awal tahun.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata pertumbuhan jualan ini disokong terutamanya oleh subsektor perdagangan runcit dan perdagangan borong yang masing-masing mencatat prestasi memberangsangkan.
“Perdagangan runcit merekodkan jumlah jualan sebanyak RM70.2 bilion, meningkat RM4.1 bilion atau 6.1% berbanding Januari 2025. Peningkatan ini didorong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang naik 7.9% kepada RM27.5 bilion.
“Pertumbuhan ini disumbangkan oleh kedai runcit, gedung serbaneka dan pasar raya, dipacu oleh cuti persekolahan, sambutan Tahun Baharu, pemberian Bantuan Awal Persekolahan serta persediaan awal bagi perayaan Tahun Baharu Cina.
“Jualan runcit di kedai pengkhususan pula meningkat 5.4% kepada RM14.7 bilion, dipacu oleh permintaan yang lebih tinggi bagi produk farmaseutikal, perubatan dan peralatan ortopedik serta barang kemas,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, jualan runcit bahan api kenderaan meningkat 7.0% kepada RM6.5 bilion manakala jualan peralatan isi rumah naik 3.3% kepada RM7.8 bilion, terutamanya bagi bahan binaan, perabot isi rumah dan perkakas dapur termasuk barangan tembikar dan kaca.
Beliau berkata perdagangan borong turut mencatatkan prestasi kukuh dengan jumlah jualan RM70.8 bilion, meningkat RM4.0 bilion atau 6.0% tahun ke tahun.
“Jualan borong barangan isi rumah naik 9.4% kepada RM15.2 bilion, manakala kumpulan lain-lain pengkhususan meningkat 4.3% kepada RM25.7 bilion.
“Jualan borong makanan, minuman dan tembakau mencatatkan kenaikan 5.8%, disokong oleh peningkatan jualan beras, bijiran, tepung, gula, ikan dan makanan laut lain serta kopi, teh dan minuman lain,” katanya.
Dalam pada itu, subsektor kenderaan bermotor terus menunjukkan pengembangan kukuh dengan jumlah jualan RM18.8 bilion, meningkat RM2.8 bilion atau 17.3% berbanding Januari tahun lalu. Jualan kenderaan bermotor meningkat 25.9% kepada RM9.0 bilion.
Pertumbuhan jualan kenderaan ini disokong oleh promosi awal tahun pengedar automotif serta peningkatan permintaan pengguna menjelang musim perayaan. Aktiviti lain termasuk penyelenggaraan dan pembaikan motosikal meningkat 32.7%, jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor naik 6.2% manakala penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor meningkat 9.3%.
Jualan runcit dalam talian terus mencatatkan pertumbuhan positif dengan indeks jualan meningkat 5.9% tahun ke tahun, berbanding 8.9% pada bulan sebelumnya, manakala transaksi e-dompet melonjak 55.4% kepada RM30.3 bilion.
Platform runcit bayaran masa sebenar (RPP) merekodkan jumlah transaksi bernilai RM359.0 bilion, meningkat 23.5%, manakala FPX meningkat 32.6% kepada RM51.2 bilion.
Dari segi indeks volum, perdagangan borong dan runcit mencatat peningkatan 5.8% tahun ke tahun, disokong subsektor kenderaan bermotor (+15.9%), perdagangan borong (+6.1%) dan perdagangan runcit (+3.7%). Walau bagaimanapun, pelarasan bermusim menunjukkan penurunan 2.4% bulan ke bulan. - DagangNews.com








