Perdagangan Malaysia dengan GCC dibimbangi terjejas jika Iran tutup Selat Hormuz - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perdagangan Malaysia dengan GCC dibimbangi terjejas jika Iran tutup Selat Hormuz - MIDF Research

Foto kredit portal commonspace.eu
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 Jun — Perdagangan Malaysia dengan negara-negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dibimbangi terjejas sekiranya Iran tetap menutup Selat Hormuz, menurut MIDF Research.


Firma penyelidikan tersebut namun berkata, langkah negara rantau Asia Barat berkenaan menyekat laluan itu dijangka menimbulkan risiko secara terhad kepada Malaysia dalam jangka masa pendek.


Tambahnya, secara umum dianggarkan kira-kira 15 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia melintasi Teluk Parsi yang merupakan koridor utama import dan eksport antara Asia dengan Eropah.


"Walaupun laluan perkapalan Laut Merah sebahagian besar kembali normal, peningkatan ketegangan di Selat Hormuz memberikan risiko baharu kepada aliran kontena serantau," katanya dalam kenyataan.


Parlimen Iran pada 22 Jun 2025 meluluskan resolusi khas penutupan selat itu sebagai tindakan balas terhadap serangan tentera Amerika Syarikat (AS) ke atas tiga kemudahan tenaga nuklear di Iran.


Bagaimanapun, dewan perundangan negara berkenaan masih lagi perlu memperoleh kelulusan daripada Majlis Tertinggi Keselamatan Negara Iran sebelum keputusan itu boleh dimuktamadkan secara rasmi.


Malaysia merekodkan perdagangan berjumlah AS$22.3 bilion (kira-kira RM101.8 bilion) pada 2024 dengan GCC yang meliputi Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Oman dan Qatar.


Secara kebetulan pula, Malaysia baru sahaja memeterai Perjanjian Perdagangan Bebas dengan blok tersebut pada 26 Mei 2025 ketika berlangsung Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur.


"Kesesakan pelabuhan dan kelewatan dermaga mungkin masih berlaku jika penjajaran semula laluan perkapalan ke rantau Teluk Parsi masih berterusan pada separuh kedua 2025," kata MIDF Research.


Ia menambah, penutupan Selat Hormuz akan menyekat akses ke pelabuhan utama di negara GCC, seperti Jebel Ali dan Dammam, yang memaksa syarikat perkapalan untuk menangguhkan pelayaran mereka.


Selain itu kata firma tersebut, pengeksport atau pengimport kemungkinan mengalihkan kargo yang dihantar melalui hab alternatif tetapi dengan kapasiti secara terhad bagi mengurangkan risiko.


Keadaan itu pula katanya, dijangka boleh menyebabkan kapal terpaksa berlabuh sementara untuk mengurangkan penggunaan limbungan yang kadarnya lebih tinggi di hab pemindahan kapal serantau.


MIDF Research berkata, bahawa tinjauan untuk tempoh enam bulan terakhir kekal tidak berubah, memandangkan penangguhan tarif AS adalah bersifat jangka pendek dan risiko penurunan berterusan.


"Kami di samping itu turut mengambil kira situasi permintaan lemah di Eropah, kapasiti kapal yang berlebihan dan gangguan geopolitik sekiranya boleh menjejaskan momentum perdagangan," tambahnya.


Firma berkenaan turut masih lagi mengekalkan saranan 'neutral' ke atas sektor pelabuhan dan logistik. - DagangNews.com