KUALA LUMPUR 11 Nov – Perbincangan antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah mengenai hak negeri itu terhadap 40% perolehan negeri akan disegerakan sebaik sahaja kerajaan negeri baharu dibentuk, menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, beliau memutuskan untuk mengadakan mesyuarat Kabinet khas hari ini (Selasa 11 Nov) bagi mendengar pandangan Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang kerajaan.
“Sesetengah pihak bertanya mengapa keputusan tidak boleh dibuat serta-merta. Kita tidak boleh berbuat demikian kerana ada proses yang perlu diikuti.
“Mana-mana keputusan kehakiman, Peguam Negara adalah penasihat undang-undang kerajaan.
“Oleh itu, kita perlu mendengar pandangan mereka terlebih dahulu, kemudian Kabinet akan berbincang dan membuat keputusan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Dr Richard Rapu (GPS-Betong) pada sesi Soal Jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri berkata, tuntutan berkaitan hak 40 peratus itu harus dilihat secara keseluruhannya.
Tegasnya, tidak perlu wujud pertelagahan kerana Kerajaan Madani secara prinsipnya telah bersetuju, serta telah memulakan perundingan.
"Cuma kita kena lihat keseluruhannya dan bila boleh berunding? Mandumus Hakim Kota Kinabalu menyatakan rundingan mesti dimulakan.
"Namun pada masa ini, ia adalah kerajaan interim, dan kita belum boleh berunding.
“Tubuh sahaja kerajaan, mungkin pada minggu pertama Disember, saya akan mengarahkan menyegerakan rundingan,” tambah Anwar.
Perdana Menteri turut menafikan dakwaan bahawa tiada rundingan sebelum ini antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah.
“Sebelum itu, saya ingin menjelaskan bahawa Timbalan Perdana Menteri II mengetuai jawatankuasa teknikal. Perkara ini dibangkit.
“Jadi, jika ada yang mengatakan tiada rundingan, itu tidak benar. Ada rundingan.
“Dimuktamadkan setelah mesyuarat Perdana Menteri, termasuk Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah. Tidak dapat dimuktamadkan, maka disebut sebagai interim,” jelas Anwar.
Kerajaan Persekutuan sebelum ini menegaskan komitmennya untuk menyelesaikan isu hak negeri Sabah terhadap 40 peratus perolehan persekutuan yang dikutip di Sabah, seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), serta memastikan semua perbincangan berkaitan dijalankan secara telus dan dengan niat baik. - DagangNews.com








