KUALA LUMPUR 21 Feb — Malaysia berpeluang memperkukuh kerjasama ekonomi, keselamatan, dan transformasi digital antara kuasa besar dunia bagi memastikan kestabilan di rantau ini disokong landskap geopolitik yang semakin kompleks.
Presiden Pusat China dan Globalisasi (CCG), Dr Wang Huiyao berkata, dunia melihat ASEAN yang kini diterajui Malaysia bukan sahaja sebuah kuasa ekonomi yang sedang meningkat, tetapi juga merupakan bahagian penting dalam dunia multipolar (blok Eropah Barat, negara Pasifik dan Asia Tenggara).
“ASEAN mempunyai negara besar seperti Malaysia, Indonesia, Vietnam, dan Thailand, dengan populasi yang tinggi itu membantu untuk memacu kemajuan serantau secara intensif,” katanya.
Dr Wang berkata demikian ketika ditemu bual di pejabatnya di Beijing selepas pulang daripada menyertai Persidangan Keselamatan Munich 2025 (MSC 2025), di Jerman baru-baru ini.
Beliau yang juga panel persidangan berkata, delegasi MSC 2025 turut membincangkan akan pertumbuhan pesat ekonomi ASEAN yang terus mengukuh menerusi kerjasama padu dengan ekonomi besar seperti China.

“Saya melihat proses pengukuhan hubungan China-Amerika Syarikat turut membantu memperkasakan ASEAN sebagai peneraju ekonomi serantau.
“Perbezaan kecil antara China, Asean ini tidak menyekat usaha kerjasama erat untuk dimanfaatkan bersama kedua-dua blok ekonomi di rantau ini.
"Apa yang saya ingin lihat adalah ASEAN terus memperkukuh dan memperdalam kerjasama ekonomi dengan China, serta mengetepikan perbezaan-perbezaan kecil," katanya.
Dr Wang turut menyarankan supaya negara ASEAN mengadakan sidang kemuncak trilateral antara ASEAN, China, dan Amerika Syarikat, sebagai alternatif kepada mesyuarat dua hala yang sedia ada.
Beliau optimis bahawa inisiatif ini pastinya membuka ruang untuk dialog lebih efektif, terutama dalam isu-isu sensitif seperti Laut China Selatan dan perdagangan antarabangsa. - DagangNews.com








