KUALA LUMPUR 4 Feb – Perak Corporation Berhad bakal mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi para pemegang saham meluluskan pelupusan tanah yang kesemuanya bernilai RM138.48 juta.
Anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) itu berkata, penjualan aset tersebut jika disokong akan meliputi beberapa lot di sejumlah tiga kawasan yang berbeza dalam negeri berkenaan.
Menurut notis mesyuarat yang disampaikan kepada Bursa Malaysia hari ini, EGM tersebut akan berlangsung di Casuarina Convention Centre 1, Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh pada 27 Februari 2025.
"Antara tujuh resolusi yang dicadangkan itu termasuk pelupusan empat bidang tanah di Mukim Hulu Bernam Timor, Daerah Muallim bernilai RM89.57 juta kepada dua pembeli," kata Perak Corporation.
Ia meliputi Makmur Impian Property Sdn Bhd, dan Tanjung Malim Hi-Tech Park Sdn Bhd, manakala usul lain ialah penjualan tiga lagi bidang tanah di Batu Undan, Mukim Lumut yang bernilai RM8.53 juta.
Aset ini jelasnya, akan dijual kepada Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd, sementara sebidang tanah di Zon 1 Bandar Meru Raya bernilai RM40.38 juta dilupus kepada Uni-Poh Construction Works Sdn Bhd.
Perak Corporation juga berhasrat membangunkan 39 bidang tanah pajakan milik PKNPk berkeluasan 302.19 hektar dimajukan secara usaha sama sebagai Silver Valley Technology Park Industrial Hub.
"Selain itu, EGM turut membentangkan cadangan pengurangan modal saham, serta pindaan perlembagaan syarikat untuk pengeluaran Saham Keutamaan Boleh Tebus (RPS-B) dan RPS-A1/A2," katanya.
Semua resolusi akan dibentangkan untuk undian pemegang saham secara pungutan suara bagi memastikan pematuhan perundangan dan kelulusan strategik projek pembangunan syarikat. - DagangNews.com








