KUALA LUMPUR 5 Mei - Penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya membangunkan Sistem Penapisan Tanpa Penukaran Air Menggunakan Teknologi Internet Kebendaan (IoT) bagi penternakan ikan di Asia Tenggara.
Ketua penyelidik, Tan Sri Dr Nor Fariza berkata, projek ini memberi tumpuan untuk membantu penternak ikan mengurangkan kos operasi serta penggunaan air sambil menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.
"Sistem yang dilengkapi teknologi canggih ini direka bagi menangani masalah pengumpulan ammonia dalam kolam ikan, yang memerlukan pertukaran air yang kerap dan boleh memberi kesan buruk kepada hidupan akuatik.
"Sistem ini juga dilengkapi dengan integrasi teknologi tinggi, memberi impak besar terhadap alam sekitar dengan memastikan keseimbangan ekologi dan meningkatkan produktiviti akuakultur di Asia Tenggara," katanya dalam satu kenyataan.

Projek yang dibangunkan dalam tempoh lima bulan itu menghadapi pelbagai cabaran persekitaran seperti aliran air dan suhu dalam kolam ikan.
Nor Fariza mengakui kesukaran dalam mengoptimumkan sistem untuk penternakan ikan keli dan talapia disebabkan kekurangan pengetahuan tentang keperluan biologi dan persekitaran spesies tersebut.
"Namun, kami berjaya mengatasi cabaran ini dengan bekerjasama dengan pakar akuakultur tempatan yang memberi pandangan berharga mengenai biologi dan keperluan ikan keli dan talapia," katanya.
Projek Pembangunan Lestari Sistem Tanpa Pertukaran Air Menggunakan Penapis Bio-DHS yang Dilengkapi dengan Teknologi IoT untuk penternakan ikan ini diketuai oleh Dr. Suhaila Mohd Najib, Zaid Arshad, dan Naim Badaruddin.
Ia turut melibatkan kerjasama pakar antarabangsa seperti Prof. Dr. Takashi Yamaguchi dan Dr. Nur Adlin Abu Bakar dari Nagaoka University of Technology, Jepun, Ir. Ts. Dr. Nurul Fariha Lokman dari UiTM Shah Alam, dan Ir. Dr. Khusna Dwijayanti dari Universiti Islam Negeri Sunan Kalijaga, Yogyakarta, Indonesia.
Projek itu dibiayai melalui geran berjumlah AS$38,000 (RM180,000) yang dimenangi menerusi ASEAN Blue Innovation Challenge (ABIC) anjuran UNDP Indonesia dengan sokongan kerajaan Jepun.

UTeM merupakan wakil dari Malaysia yang terpilih daripada 1,341 penyertaan dari 10 negara Asia Tenggara. Projek mereka menonjol hasil pendekatan teknologi tinggi dalam menangani isu pengumpulan ammonia dalam kolam ikan, sekali gus membuktikan potensi besar inovasi tempatan di pentas serantau.
Naib Canselor UTeM, Profesor Tan Sri Dr Massila Kamalrudin berkata, kejayaan itumencerminkan komitmen tinggi universiti dalam memperkukuh budaya penyelidikan dan inovasi.
"Sistem ini berpotensi besar mengurangkan keperluan tenaga kerja melalui pemantauan pintar berterusan di samping meningkatkan kualiti air dan mengurangkan pelepasan air sisa ke alam sekitar," katanya.
Malahan, impak projek itu diyakini akan memperkukuh kelestarian sektor akuakultur dan menjadi contoh penyelesaian lestari yang boleh diguna pakai di peringkat global.- DagangNews.com








