KUALA LUMPUR 3 Mac - Penyasaran subsidi petrol RON95 yang bakal dilaksanakan akan mengambil kira harga pasaran sama seperti pelaksanaan ke atas diesel ketika ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penyasaran subsidi RON95 perlu dilaksanakan disebabkan perbezaan harga yang besar yang mengakibatkan ketirisan dalam subsidi petrol dan digunakan oleh kumpulan yang tidak sepatutnya.
Beliau berkata, memandangkan perbelanjaan subsidi RON95 tahun 2024 hampir berjumlah RM20 bilion, jika ketirisan kepada bukan warganegara, perniagaan dan golongan kaya dapat ditangani, ia bakal menjana penjimatan lebih RM8 bilion setahun.
Katanya, penerima subsidi RON95 yang meliputi 85% pengguna warganegara akan terus menikmati bahan api bersubsidi itu.
Beliau berkata, bagi meredakan kebimbangan rakyat, kerajaan akan memastikan kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 yang menyeluruh dan berkesan seperti tindakan yang diambil kepada diesel.
"Ini termasuklah memastikan kumpulan rakyat yang layak akan terus mendapat insentif atau bantuan sewajarnya di samping menggunakan mekanisme yang mudah dan holistik untuk penyebaran maklumat atau penerangan penyasaran subsidi yang berkesan," katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2024) 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Amir Hamzah berkata, bgi penyasaran subsidi RON95, kerajaan akan menggunakan MyKad sebagai rujukan utama menentukan status kewarganegaraan manakala kriteria lain seperti pemilikan kenderaan sama ada yang bermotosikal atau berkereta termasuk lokaliti penerima subsidi masih dalam penelitian.
Beliau berkata, kerajaan juga sedang meneliti pendekatan yang akan digunakan bagi menentukan julat pendapatan isi rumah bagi memastikan majoriti 85% rakyat tidak akan terjejas apabila penyasaran subsidi petrol RON95 dilaksanakan kelak.
Katanya, kebolehlaksanaan teknologi MyKad itu terbukti berkesan dengan pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) iaitu bantuan bagi pembelian barangan keperluan asas terpilih sejak 2024.
"Tahap penggunaan di negeri Kelantan dan Perlis mencecah 97%. Bermula 15 Januari 2025, kerajaan telah menyalurkan SARA melalui MyKad secara bulanan kepada 700,000 penerima miskin dan miskin tegar.
"Pada Januari 2025, penyaluran bantuan SARA melalui MyKad diperluas ke negeri Sabah dan Sarawak berbanding hanya negeri-negeri Semenanjung Malaysia pada 2024. Pada April 2025, SARA akan diperluas kepada 5.4 juta penerima termasuk isi rumah B40," katanya.
Menteri Kewangan II berkata, kerajaan komited untuk terus membela nasib rakyat termasuk golongan pertengahan dalam menghadapi cabaran kos sara hidup
Beliau berkata, ia termasuk memastikan kumpulan rakyat yang layak, akan mendapat insentif atau bantuan sewajarnya, di samping mengguna pakai mekanisme yang mudah dan holistik serta penyebaran maklumat atau penerangan penyasaran subsidi yang berkesan selain mengekang daripada berlakunya cubaan pencatutan atau kenaikan harga mendadak dalam kalangan pengusaha yang tidak bertanggungjawab. - DagangNews.com








