KUALA LUMPUR 26 Jan - Penyambungan grid Sarawak–Sabah merupakan bukti nyata bagaimana sumber tenaga boleh diperbaharui dapat menyokong peralihan tenaga secara nyata dan berkesan, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Katanya, dengan membolehkan fleksibiliti operasi yang lebih besar antara dua sistem tenaga, penyambungan ini meningkatkan kebolehpercayaan sistem dan mengukuhkan keselamatan tenaga.
Beliau menambah, sejak bulan lalu, syarikat milik kerajaan negeri, Sarawak Energy Bhd, telah mula mengeksport 30MW bekalan elektrik ke Sabah dan pencapaian bersama Sabah ini dibina berdasarkan pengalaman Sarawak dalam kerjasama tenaga rentas sempadan.
“Sejak 2016, Sarawak telah mengeksport elektrik ke Kalimantan Barat (Indonesia), menandakan penyambungan grid kuasa rentas sempadan pertama kami.
“Kerjasama selama satu dekad ini telah membuktikan manfaat ketara kerjasama tenaga serantau, termasuk peningkatan kebolehpercayaan sistem, penggunaan sumber yang lebih cekap, hubungan rentas sempadan yang lebih kukuh serta pencapaian kelestarian yang lebih baik melalui pengurangan kebergantungan kepada penjanaan intensif karbon.
“Pengalaman ini telah menjadi asas kepada penyambungan Sarawak–Sabah dan mengukuhkan kefahaman bahawa projek penyambungan kuasa bukan sekadar projek teknikal, tetapi pemangkin strategik kepada pertumbuhan bersama yang mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran pengoperasian Projek Penyambungan Grid Tenaga Sarawak–Sabah di Kota Kinabalu baru-baru ini.
Pelancaran tersebut disempurnakan bersama oleh Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Abang Johari berkata, pada masa yang sama, ia menyokong objektif Dasar Peralihan Tenaga Sarawak dengan membolehkan Sarawak berkongsi sumber tenaga boleh diperbaharui, sekali gus menyumbang kepada campuran tenaga serantau yang lebih seimbang dan rendah karbon.
Menurutnya, Sarawak kini mempunyai 3,558MW kapasiti hidroelektrik berskala besar yang sedang beroperasi, sekali gus membentuk tulang belakang kepada sistem bekalan elektrik yang stabil dan rendah karbon.
Asas ini akan diperkukuh lagi dengan tambahan 1,285MW kapasiti hidroelektrik daripada Loji Hidroelektrik Baleh, yang dijadualkan mula beroperasi menjelang 2030.
Pembinaan projek Empangan Baleh telah dimulakan beberapa tahun lalu dan terletak di kawasan pedalaman Bahagian Kapit, berhampiran Empangan Bakun (2,400MW) dan Empangan Murum (944MW).
Katanya, Sarawak juga sedang meneroka pembangunan hidroelektrik berperingkat serta pemasangan solar terapung di takungan sedia ada bagi meningkatkan kapasiti penjanaan kepada 10GW menjelang 2030 dan 15GW menjelang 2035, sekali gus meletakkan Sarawak sebagai hab tenaga boleh diperbaharui (RE) serantau dan bateri kepada ASEAN.
Menegaskan kesediaan Sarawak untuk memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan tenaga serantau, Abang Johari berkata Sarawak dan Brunei telah bersetuju secara prinsip untuk membangunkan penyambungan grid bagi eksport elektrik ke negara itu menjelang 2030. - DagangNews.com








