Penutupan Selat Hormuz ganggu rantaian bekalan global, pengeluar Malaysia kena bersedia hadapi lonjakan kos - FMM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penutupan Selat Hormuz ganggu rantaian bekalan global, pengeluar Malaysia kena bersedia hadapi lonjakan kos - FMM

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Mac – Penutupan laluan perkapalan strategik di Selat Hormuz susulan ketegangan geopolitik di rantau Timur Tengah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengeluar Malaysia.


Menurut Presiden Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM), Jacob Lee Chor Kok, mereka perlu bersedia menghadapi kenaikan kos logistik, kelewatan penghantaran dan gangguan rantaian bekalan global.

 

 

 

 

 


Laluan itu merupakan akses tunggal dari Teluk Parsi dan dianggarkan 20% stok minyak antarabangsa melalui perairan tersebut, menjadikannya antara jalan perdagangan tenaga paling kritikal di dunia.


"Sebarang gangguan terhadap laluan perkapalan utama ini berpotensi menjejaskan teruk kapasiti penghantaran antarabangsa serta meningkatkan kadar tambang kargo," katanya dipetik Business Times.


Tambah Chor Kok, apabila banyak kapal terpaksa dialihkan atau dikenakan caj risiko tambahan, kadar tambang turut boleh meningkat dengan cepat selain ketersediaan kontena menjadi lebih terhad.


Walaupun kargo Malaysia tidak melalui laluan itu secara langsung, gangguan di satu laluan utama lazimnya memberi kesan limpahan kepada laluan lain termasuk ke Asia dan laluan rentas Lautan Pasifik.

 

Hormuz
BEBERAPA kapal tangki berlabuh di terminal petroleum yang terletak di Teluk Parsi dan berdekatan dengan Selat Hormuz. - Foto AFP


Beliau berkata syarikat yang beroperasi di bawah kontrak harga tetap berisiko mengalami pengecilan margin keuntungan sekiranya tidak dapat memindahkan kenaikan kos logistik kepada para pelanggan.


"Selain itu, pengeluar yang bergantung kepada jadual penghantaran ketat juga berdepan cabaran bagi memenuhi komitmen penghantaran berikutan perubahan jadual atau laluan kapal," jelas Chor Kok.


Dalam masa sama, ketidaktentuan konflik juga boleh menjejaskan aliran tempahan apabila pembeli di pasaran Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Timur Tengah terpaksa menangguhkan keputusan pembelian.


Sektor berorientasikan eksport seperti elektrik dan elektronik, jentera, produk logam serta produk pengguna berisiko terjejas kerana sebarang penangguhan tempahan boleh memberi kesan yang besar.

 

 

 

 

 


Keadaan itu tambah Chor Kok, boleh mengganggu perancangan pengeluaran dan aliran tunai syarikat, sehingga terdapat keputusan yang jelas mengenai isu kos dan permintaan pasaran dari lapangan.


"Justeru, pengeluar kena ada langkah mitigasi termasuk rantaian bekalan, sumber bahan mentah serta laluan alternatif bagi mengurangkan risiko jika konflik berlarutan," katanya.  - DagangNews.com