Penurunan Indeks KL REIT buka peluang belian, MBSB Research naik taraf sektor kepada ‘positif’ | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penurunan Indeks KL REIT buka peluang belian, MBSB Research naik taraf sektor kepada ‘positif’

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 16 Mac – Penurunan terkini Indeks Amanah Pelaburan Hartanah Kuala Lumpur (KL REIT Index) dilihat sebagai peluang yang menarik kepada pelabur, menurut MBSB Research dalam notanya.


Firma penyelidikan tersebut berkata, situasi semasa ketika ini disifatkan sebagai tempoh yang bersesuaian untuk mengumpul saham-saham 'defensif' dan menawarkan pulangan dividen tinggi.


Walaupun indeks itu susut 6% daripada paras tertinggi 1,015.46 mata pada 19 Februari 2026 kepada 954.62 mata pada 9 Mac 2026, penurunan itu sebahagian besar didorong aktiviti pengambilan untung.


"Ia berlaku ketika pasaran mengalami tekanan jualan, dan kami melihat potensi penurunan yang masih terhad kerana REIT kekal sebagai aset selamat ketika pasaran tidak menentu," jelas MBSB Research.


Tambah firma berkenaan lagi, kelemahan harga saham pada ketika ini memberi peluang kepada pelabur untuk dapat pula mengumpul saham-saham REIT yang dinilai menawarkan hasil dividen lebih menarik.


Setakat tahun ini (YTD) katanya, prestasi KL REIT Index masih mencatat kenaikan kira-kira 2.3%, mengatasi peningkatan hanya 1.1% yang direkodkan oleh indeks penanda aras Bursa Malaysia, FBMKLCI.


Prestasi itu ujar MBSB Research dipacu kenaikan beberapa REIT utama seperti Paradigm REIT (6.32%), Axis REIT (6.25%), UOA REIT (5.4%), KLCCP Stapled (4.9%)  dan CapitaLand Malaysia Trust (4%).


"Bagaimanapun, pada masa sama berlaku pula penurunan harga saham baru-baru ini didahului Sunway REIT (-11%), Pavilion REIT (-10.5%), IGB REIT (-8.7%), dan Amanahraya REIT (-7.4%)," tambahnya.


Menurutnya, prestasi kewangan sektor REIT bagi tahun kalendar 2025 kekal positif apabila lima daripada enam REIT di bawah liputan firma penyelidikan itu mencatat keputusan selaras jangkaan.


Satu-satunya REIT yang sedikit tersasar kata MBSB Research, ialah Al-‘Aqar Healthcare REIT, disebabkan isu perbelanjaan kumpulan tersebut yang didapati lebih tinggi daripada unjuran awal.

 

REIT


Dari segi pertumbuhan pendapatan pula jelasnya, perolehan seunit (EPU) bagi sektor REIT didapati meningkat antara kira-kira 0.8% hingga mencecah sebanyak 26.7% yang dicatatkan mereka pada CY25.


"Sunway REIT merekodkan pertumbuhan EPU paling tinggi iaitu sebanyak 26.7%, didorong oleh prestasi kukuh dalam segmen runcit terutamanya Sunway Pyramid Mall dan Sunway Carnival Mall," tambahnya.


Melangkah ke 2026, MBSB Research menjangkakan prospek pendapatan sektor REIT kekal stabil, dipacu jangkaan kenaikan kadar sewaan sektor runcit serta permintaan pengguna yang masih berdaya tahan.


Dalam masa sama, jurang hasil semakin melebar turut meningkatkan tarikan, dengan hasil agregat kasar Indeks KL REIT meningkat kepada 5.2% pada Mac 2026, berbanding 4.2% pada Februari 2026.


Perkembangan itu melebarkan jurang hasil antara Indeks KL REIT dan hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) bagi 10 tahun kepada 163 mata asas, sejajar dengan purata sejarah lapan tahun.


“Dengan jangkaan hasil MGS 10 tahun kekal sekitar 3.5%, kami percaya jurang hasil melebihi 150 mata asas menjadikan REIT sebagai pilihan pelaburan bagi yang mencari pulangan stabil,” katanya.


Sehubungan perkembangan itu, MBSB Research menaik taraf sektor REIT kepada 'positif', memandangkan sektor tersebut dijangka terus menjadi pilihan pelabur ketika tempoh ketidaktentuan pasaran saham.


Firma penyelidikan itu turut menjangkakan sektor runcit kekal berdaya tahan pada 2026 susulan aliran trafik pengunjung pusat beli-belah yang dijangka kukuh serta peningkatan jualan penyewa.


Peningkatan ketibaan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dijangka memberi manfaat besar kepada REIT yang ada pendedahan kepada sektor hotel seperti Sunway REIT, dan Pavilion REIT.


"Dari segi cadangan pelaburan, kami menaik taraf Pavilion REIT kepada 'beli' dengan harga sasaran RM2.00, berikutan kelemahan harga saham semasa menawarkan potensi kenaikan," katanya. - DagangNews.com