KUALA LUMPUR 26 Sept - Pengumuman mengenai insentif Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City adalah tepat pada masanya ketika Malaysia bergerak maju dan berubah menjadi ekonomi berpendapatan tinggi dan moden.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, SFZ Forest City mengukuhkan inisiatif awal seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ) dan Johor Green Deal untuk memperkuat peranan Johor sebagai hab serantau, serta melengkapi pelbagai pelan tindakan dan polisi yang diumumkan sejak tahun lepas,
Katanya, ini termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Strategi Semikonduktor Negara (NSS).
"Johor sedang mengambil peluang daripada kejayaan pertumbuhan ekonomi dan pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia, menjadi salah satu penerima terbesar pelaburan asing dan domestik pada 2022 dan 2023.
"Johor adalah penerima manfaat utama daripada ledakan pusat data dan dijadualkan menerima pelaburan baru bernilai RM17 bilion dalam pusat data pada tahun 2024.
"Pembangunan hijau di negeri ini akan disokong oleh permintaan terhadap tenaga boleh diperbaharui baik di dalam negara mahupun di ASEAN, terutama dari Singapura," katanya dalam kenyataan hari ini.
Komen mengenai SFZ Forest City dan JSSEZ ini sempena Invest Malaysia Iskandar 2024.

ARTIKEL BERKAITAN: Forest City SFZ dilancarkan dengan cukai sifar ke atas firma pengurusan individu kaya
Secara keseluruhan, kata beliau, langkah-langkah yang diumumkan dijangka bukan sahaja akan memacu aktiviti perniagaan tetapi juga menghasilkan peluang pekerjaan yang signifikan dan meningkatkan permintaan hartanah.
Menurutnya, integrasi ekonomi yang berpotensi daripada JSSEZ akan membawa kesan berganda dan menarik pelaburan mampan jangka panjang.
"Fokus lanjut harus diberikan kepada memudahkan perniagaan dan pelabur melalui kecekapan perkhidmatan awam, serta pengekalan, tarikan, dan pembangunan bakat," jelasnya.
Dalam hal ini, kata Khairussaleh, kadar cukai pendapatan individu tetap 15% dan proses imigresen yang dipercepat untuk pekerja berpengetahuan yang diambil bekerja di FCSFZ akan mewujudkan persekitaran yang sangat kompetitif bagi bakat terbaik.
Menurunya, ini akan mengukuhkan daya tarikan zon tersebut dan meningkatkan kumpulan profesional berkemahiran yang boleh diambil oleh syarikat multinasional (MNC) dan firma tempatan.
"Aliran kerja Malaysia yang kini satu hala ke Singapura mungkin akan menjadi lebih seimbang, jika lebih ramai rakyat Malaysia berkemahiran, rakyat Singapura, dan warganegara asing lain memilih untuk menetap di JSSEZ.
"Maybank komited untuk menyokong kejayaan jangka panjang Johor dan berhasrat menjadi bank pilihan untuk transaksi Malaysia-Singapura. Kami sedang aktif berhubung dan menghubungkan perniagaan dan kerajaan untuk manfaat bersama kedua-dua negara," ujarnya. - DagangNews.com








