Penswastaan DKSH Malaysia gagal, pemegang saham minoriti tolak tawaran RM6.15 sesaham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penswastaan DKSH Malaysia gagal, pemegang saham minoriti tolak tawaran RM6.15 sesaham

KUALA LUMPUR 2 April - Cadangan penswastaan DKSH Holdings (Malaysia) Bhd (DKSH Malaysia) tidak menjadi kenyataan selepas pemegang saham minoriti menolak tawaran pengambilalihan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang berlangsung hari ini.

 

Tawaran sebanyak RM6.15 sesaham oleh syarikat induknya, DKSH Holding Ltd yang berpangkalan di Switzerland, gagal memperoleh sokongan diperlukan apabila majoriti pemegang saham minoriti mengundi menentang cadangan tersebut.

 

Sebanyak 100 pemegang saham yang mewakili kira-kira dua pertiga undi menolak tawaran itu, termasuk Pangolin Investment Management Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura.

 

Daripada keseluruhan 151 pemegang saham yang mengundi, hanya 51 menyokong cadangan berkenaan. Dari segi nilai pegangan, sebanyak 87.47% undi menentang, manakala hanya 12.53% memihak kepada tawaran tersebut.

 

Berikutan keputusan itu, DKSH Malaysia akan kekal tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

Jurucakap syarikat berkata, sebarang usaha untuk mempertimbangkan semula cadangan pengurangan modal terpilih itu perlu mematuhi keperluan undang-undang serta peraturan berkaitan, termasuk tempoh ‘cooling-off’ yang ditetapkan.

 

“Tiada perubahan kepada operasi syarikat dan DKSH Malaysia akan terus beroperasi seperti biasa,” katanya lapor The Edge.

 

DKSH telah beroperasi di Malaysia sejak 1923 dan disenaraikan di Bursa Malaysia sejak 1994. Syarikat itu terlibat dalam pengedaran produk merangkumi barangan pengguna, penjagaan kesihatan, bahan industri dan teknologi, termasuk untuk syarikat Fortune 500.

 

Namun, saham DKSH Malaysia dikenal pasti sebagai kurang cair dengan aktiviti dagangan yang agak terhad di pasaran tempatan.

 

Untuk meluluskan cadangan penswastaan itu, syarikat memerlukan sokongan majoriti dari segi bilangan pemegang saham minoriti serta sekurang-kurangnya 75% daripada nilai saham yang mengundi, selain memastikan tidak lebih 10% undi minoriti menentang.

 

Pengasas dan pengarah Pangolin Investment, James Hay berpandangan harga tawaran tersebut tidak mencerminkan nilai sebenar syarikat.

 

Katanya, melalui dana Pangolin Asia Fund, firma itu memegang 2.71% kepentingan dalam DKSH Malaysia dan kekal komited sebagai pelabur jangka panjang.

 

“Kami berhasrat untuk terus memegang pelaburan ini bagi jangka panjang. Walaupun saham ini kurang cair, ia merupakan pelaburan berkualiti yang dibeli pada harga menarik,” katanya. - DagangNews.com