Pensijilan MSPO 2.0 mampu penuhi keperluan EUDR | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pensijilan MSPO 2.0 mampu penuhi keperluan EUDR

KUALA LUMPUR 14 Feb (Bernama) — Pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) 2.0 mampu memenuhi sepenuhnya keperluan yang ditetapkan oleh Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamed Hafizin Mohamed Tajudin.
 

Bercakap pada taklimat media mengenai MSPO 2.0, beliau berkata EUDR mewajibkan pematuhan kepada empat elemen utama - kesahihan tanah, rawatan buruh, mudah penjejakan dan tiada penebangan hutan - yang kesemuanya sudah ada dalam rangka kerja pensijilan.
 

“Sebagai contoh, dalam isu penebangan hutan, EUDR menetapkan bahawa tanah tidak boleh ditebang selepas 31 Disember 2020 namun MSPO ada syarat yang lebih ketat, iaitu tanah tidak boleh ditebang selepas 31 Disember 2019, untuk layak mendapat pensijilan,” katanya.
 

Mohamed Hafizin turut menekankan bahawa pemilikan tanah juga merupakan kriteria asas bagi pensijilan MSPO dan mereka yang tidak mempunyai hak milik tanah yang sah tidak akan layak dipertimbangkan untuk memperoleh pensijilan tersebut.
 

Berhubung isu layanan buruh pula, beliau menegaskan bahawa MSPO sudah menggabungkan penilaian impak sosial untuk memastikan entiti yang diperakui telah mematuhi piawaian buruh yang betul.
 

Mengenai isu mudah penjejakan, Mohamed Hafizin mengakui ia sebelum ini menjadi keperluan sukarela di bawah piawaian 2013, namun selepas disemak semula untuk dijadikana piawaian MSPO 2022, aspek berkenaan telah menjadi wajib.
 

“Ini memberikan kami keyakinan yang kukuh bahawa mana-mana entiti yang diperakui di bawah MSPO 2.0 sebenarnya boleh memenuhi keperluan standard EUDR,” katanya. MSPO sebelum ini dikenali sebagai Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia.
 

Sehubungan itu sebagai menunjukkan keberkesanan pensijilan MSPO 2.0, beliau berkata sebuah syarikat yang ingin menjual minyak sawit kepada pembeli Eropah boleh membentangkan rantaian bekalan yang diperakui MSPO sepenuhnya sebagai bukti pematuhan.
 

“Apabila produk ini tiba di pelabuhan Eropah, pihak berkuasa yang berwibawa akan melihat bahawa ia diperakui MSPO. Sekiranya mereka memerlukan pengesahan lanjut, mereka boleh mengakses sistem e-MSPO, yang mengandungi laporan audit dari 2013 hingga 2025,” katanya.
 

Beliau turut menekankan bahawa MSPO 2.0 melangkaui penetapan piawaian dan menjalankan audit dengan menyediakan sistem telus apabila membolehkan entiti yang diperakui menunjukkan kredibiliti mereka kepada pasaran antarabangsa dan pengawal selia.
 

MSPO 2.0 sudah berkuat kuasa pada 1 Januari lalu dengan pengenalan garis panduan yang lebih ketat untuk kemampanan, kebolehkesanan dan amalan beretika dalam pengeluaran minyak sawit.
 

Justeru ujarnya, MSPO 2.0 menambah baik standard asal MSPO 2013 dengan mengguna pakai keperluan yang lebih ketat dan lebih komprehensif, sejajar dengan piawaian global semasa dan jangkaan untuk kelestarian alam sekitar, tanggungjawab sosial dan amalan tadbir urus. - DagangNews.com