KUALA LUMPUR 18 Feb - Penjualan tanah seluas 56 hektar di Iskandar Malaysia dipercayai mempercepatkan proses Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia) mengukuhkan kunci kira-kira, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Katanya, ia juga menunjukkan keupayaan pengurusan kumpulan mendapatkan tawaran, terutamanya di tengah-tengah sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap eksport cip kecerdasan buatan (AI) yang mungkin memperlahankan permintaan pusat data di Malaysia.
Firma penyelidikan itu positif terhadap penjualan tanah terkini pada harga yang berpatutan dan ia termasuk dalam julat transaksi RM75 hingga RM143 sekaki persegi untuk pemain pusat data antara 2023 dan 2024.
"Harga jualan adalah 52% lebih tinggi daripada penjualan tanah pertama kepada Microsoft pada RM75 sekaki persegi kerana lokasinya yang lebih matang di Tebrau berbanding Kulai.
"Pada pandangan kami, penjualan tanah itu bukan sahaja mempercepatkan proses penjanaan wang untuk aset tetapi juga mengukuhkan kunci kira-kira kumpulan srta mempamerkan keupayaan reka untuk mendapatkan tawaran yang meningkatkan nilai.
ARTIKEL BERKAITAN: Eco World jual tanah seluas 56 hektar di Iskandar Malaysia berharga RM694 juta
"Selain itu, perjanjian tanah bagi pusat data terbaru ini mengukuhkan status Johor sebagai hab pusat data utama," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, kumpulan itu telah memetrai perjanjian jual beli (SPA) bersyarat bagi melupuskan tanah perindustrian pegangan bebas seluas 56 hektar di Eco Business Park I di Iskandar Malysia kepada Microsoft Payments berharga RM694 juta (atau RM114 sekaki persegi).
Tanah itu adalah sebahagian daripada 247.6 hektar di bawah Eco Business Park I, yang diperoleh Eco World pada 2014 dengan harga RM597.7 juta (RM22.4 sekaki persegi).
Penjualan tanah itu dijangka selesai pada separuh pertama 2026.
Dalam tempoh lapan bulan, kumpulan itu telah memperoleh tiga urus niaga tanah berkaitan pusat data bernilai RM1.3 bilion dalam jualan, menyumbang 38% daripada jumlah jualan industri sebanyak RM3.4 bilion antara FY21 hingga FY24.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM2.34 sesaham.- DagangNews.com








