KUALA LUMPUR 26 Feb - Volum penjualan gas Hibiscus Petroleum Bhd diramal jatuh sebanyak 20% pada 3QFY25 kerana medan minyak PM3-CAA dijangka mencatat pengeluaran rendah pada suku tersebut.
PublicInvest berkata, selain daripada pengeluaran minyak yang rendah, pendapatan syarikat penerokaan minyak dan gas itu bakal terkesan daripada naik turun harga minyak.
"Kami menjangkakan Hibiscus mencatat prestasi yang lebih lemah pada suku seterusnya, mengandaikan paras harga minyak yang sama.
"Walaubagaimanapun, kami yakin volum penjualan kumpulan cari gali serta pengeluaran minyak dan gas ini akan kembali pulih ada 4QFY25," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Terdahulunya, Hibiscus melaporkan untung bersih 2QFY25 sebanyak RM84.8 juta, merosot sebanyak 45.8% tahun-ke-tahun (YoY) dan 11% suku-ke-suku (QoQ) disebabkan oleh harga minyak sederhana pada purata AS$77.4 bagi setong minyak.
Penurunan ini berlaku walaupun penjualan gas lebih tinggi berikutan pengambilalihan TotalEnergies EP Brunei baru-baru ini dan pengembalian operasi biasa selepas aktiviti penyelenggaraan dan pemulihan utama pada 1QFY25.
ARTIKEL BERKAITAN:Hibiscus Petroleum catat untung bersih sebanyak RM83.26 juta pada 2QFY25, isytihar dividen 3 sen
Secara kumulatif, Hibiscus mencatat keuntungan bersih 1HFY25 sebanyak RM180.2 juta, secara amnya sejajar dengan anggaran konsensus PublicInvest masing-masing pada 44.7% dan 51.3%.
Dalam pada itu, PubicInvest berkata, harga minyak yang lemah mungkin menimbulkan risiko penurunan kepada pendapatan kumpulan.
"Secara keseluruhannya, kami tidak membuat perubahan pada ramalan kami dan mengekalkan panggilan "neutral" dan harga sasaran (TP) kami sebanyak RM1.79 sesaham.
Sementara itu, Hibiscus mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 3 sen sesaham, membawa sejumlah 5 sen sesaham untuk 1HFY25.- DagangNews.com








