Hibiscus Petroleum catat untung bersih sebanyak RM83.26 juta pada 2QFY25, isytihar dividen 3 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hibiscus Petroleum catat untung bersih sebanyak RM83.26 juta pada 2QFY25, isytihar dividen 3 sen

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Feb — Hibiscus Petroleum Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM83.26 juta pada suku kedua berakhir 31 Disember 2024 (2QFY25), turun daripada RM102.34 juta direkodkan pada suku yang sama sebelumnya.
 

Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata bahawa perolehan sesaham dalam tempoh suku berkenaan turut didapati adalah susut kepada 10.8 sen daripada sebanyak 12.72 sen yang dicatatkan pada suku perbandingan.
 

Kumpulan cari gali serta pengeluaran minyak dan gas bebas tempatan itu namun turut melaporkan yang jumlah pendapatannya adalah RM653.18 juta, meningkat daripada hanya sebanyak RM627.55 juta pada suku tahun lalu.
 

Bagi tempoh enam bulan, Hibiscus Petroleum merekodkan keuntungan bersih RM158.86 juta berbanding RM256.63 juta pada 6MFY24, manakala perolehan turun kepada RM1.13 bilion daripada RM1.37 bilion pada tempoh sama sebelumnya.
 

Lembaga pengarah syarikat berkenaan mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak tiga sen sesaham, dengan tarikh matang pada 21 Mac 2025, sementara pembayaran pula ditetapkan pada 21 April 2025.
 

Dalam pada itu kenyataan tersebut berkata, Hibiscus Petroleum menjual sejumlah 2.6 MMboe minyak, kondensat dan gas yang berjaya mencapai rekod pengeluaran purata tertinggi sebanyak 28,138 boe/hari pada 2QFY25.
 

Pengarah Urusannya, Kenneth Pereira berkata, 2QFY25 menandakan kali pertama kumpulan itu memasukkan sumbangan operasi dan kewangan daripada anak syarikat Brunei yang baru diambilalih, serta memacu pengeluaran bersih tertinggi.
 

"Secara keseluruhan untuk FY25, jumlah penjualan minyak, kondensat dan gas setahun penuh kami dijangka mampu mencecah kira-kira 9.1 MMboe, iaitu kira-kira 17 peratus lebih tinggi daripada FY24.
 

"Dengan projek peningkatan pengeluaran kami datang dalam tahun ini, kami berada di landasan yang baik untuk mencapai Misi 2026 kami untuk menghasilkan antara 35,000 dan 50,000 boe/hari," katanya. - DagangNews.com