Pengukuhan sektor kesihatan, saham hospital dijangka mendorong kembali kenaikan KLCI selepas ini - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengukuhan sektor kesihatan, saham hospital dijangka mendorong kembali kenaikan KLCI selepas ini - Maybank IB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 29 Jan — FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menamatkan rali kenaikan terbaharunya dengan penurunan pada sesi dagangan semalam, namun penyusutan tersebut tidak menandakan berakhirnya aliran menaik yang lebih luas, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, sebaliknya, selepas mencatat kenaikan kukuh sebelum ini, pasaran dijangka memasuki fasa penyatuan yang sihat dan diperlukan bagi menyokong kesinambungan aliran menaik indeks penanda aras itu.

 

Pada penutupan dagangan, KLCI susut 14.76 mata atau 0.83% untuk ditutup pada paras 1,756.49 mata.

 

 

 

 

 

Tekanan jualan dalam kalangan saham wajaran tinggi menyaksikan CIMB, MAXIS dan PBBANK muncul sebagai antara kaunter utama yang menekan indeks. Lebar pasaran adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung pada nisbah 876 berbanding 383.

 

Dari segi sektor, sektor penjagaan kesihatan muncul sebagai peneraju prestasi, disokong oleh pengukuhan menyeluruh terutamanya dalam saham hospital dan sarung tangan.

 

Bagaimanapun, Maybank IB menasihatkan pelabur agar berhati-hati terhadap saham sarung tangan memandangkan aliran menurun utama sektor itu masih belum dipatahkan sepenuhnya dan memerlukan kesinambungan kenaikan yang lebih kukuh bagi mengesahkan pembalikan trend yang bermakna.

 

 

 

 

 

 

Aliran menaik saham hospital pula dilihat masih kekal utuh.

 

Bagi sesi dagangan hari ini, KLCI dijangka bergerak dalam julat antara 1,745 mata hingga 1,765 mata. Paras sokongan indeks kekal pada 1,685 mata dan 1,640 mata. - DagangNews.com