Pengguna semakin teliti, mahu ketelusan pengeluar bukan sekadar logo halal pada produk – Laporan firma pasaran | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengguna semakin teliti, mahu ketelusan pengeluar bukan sekadar logo halal pada produk – Laporan firma pasaran

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Mei – Industri halal Malaysia yang dianggarkan bernilai RM118.2 bilion kini berdepan cabaran baharu kerana pensijilan halal semata-mata tidak lagi mencukupi untuk menjamin kepercayaan pengguna dalam pasaran yang semakin kompleks.

 

Perubahan ini berlaku ketika Malaysia menyasarkan RM80 bilion eksport halal menjelang 2030 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dalam persekitaran pasaran global halal yang dijangka melebihi AS$113 bilion menjelang 2030.

 

Firma risikan pasaran, Suluh dalam laporan terbaharunya menyatakan cabaran utama industri kini bukan sekadar pematuhan pensijilan, tetapi keperluan kepada kebolehkesanan menyeluruh dalam rantaian bekalan global.

 

Laporan bertajuk “Beyond the Logo: How Trust is Built in Malaysia’s Halal Marketplace” itu menjelaskan bahawa jurang dalam rantaian bekalan global, termasuk pada peringkat bahan tambahan, bahan pemprosesan dan input sokongan boleh menjejaskan integriti halal walaupun produk akhir telah mendapat pensijilan sah.

 

Ketua Penyelidik laporan tersebut, Shermian Lim berkata, kepercayaan kini menjadi faktor utama dalam menentukan daya saing jenama halal.

 

“Pengguna kini menilai bukan sahaja pada logo halal, tetapi pada sejauh mana nilai halal itu diterapkan dalam keseluruhan operasi syarikat secara konsisten dan boleh dibuktikan,” katanya.

 

Laporan itu dibangunkan bagi membantu usahawan, khususnya PKS, memahami perubahan dalam pasaran halal serta cabaran pematuhan yang semakin kompleks. 

 

Ia juga bertujuan memberikan panduan strategik kepada pemain industri dalam memperkukuh kebolehkesanan rantaian bekalan dan meningkatkan daya saing di peringkat global.

 

Laporan itu turut menyatakan bahawa penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet Pelbagai Benda (IoT) semakin penting dalam memperkukuh sistem kebolehkesanan rantaian bekalan halal di peringkat global.

 

Selain itu, industri turut berdepan risiko reputasi yang lebih cepat tercetus akibat penyebaran maklumat di media sosial, yang boleh menjejaskan keyakinan pengguna walaupun melibatkan isu kecil dalam rantaian bekalan.

 

Laporan berkenaan menegaskan aspek komunikasi krisis dan ketelusan operasi kini menjadi elemen penting bagi syarikat yang beroperasi dalam pasaran halal global yang semakin kompetitif. - DagangNews.com