Pengeluaran Minyak & Gas Malaysia Q2 tunjuk tanda kestabilan - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengeluaran Minyak & Gas Malaysia Q2 tunjuk tanda kestabilan - DOSM

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 3 Sept - Sektor huluan minyak dan gas Malaysia menunjukkan tanda-tanda kestabilan pada suku kedua 2025, dengan pengeluaran minyak mentah dan kondensat mencatatkan pengecutan yang lebih kecil manakala pengeluaran gas asli terus menyederhana, menurut data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) hari ini.

 

Pengeluaran minyak mentah dan kondensat berjumlah 45.2 juta tong, menguncup 2.2 peratus tahun ke tahun berbanding penurunan 6.5 peratus pada suku sebelumnya.

 

Pengeluaran kondensat pula susut 1.2 peratus berbanding 2.4 peratus pada Q1, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Pengeluaran gas asli pula jatuh 8.0 peratus, lebih besar daripada penyusutan 2.2 peratus pada suku pertama, kepada 640.9 bilion kaki padu.

 

“Prestasi yang bertambah baik ini disokong oleh pemulihan dalam pengeluaran minyak mentah yang merekodkan pengecutan lebih kecil berbanding suku sebelumnya, manakala pengeluaran kondensat turut menunjukkan peningkatan,” kata Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin.

 

“Namun, pengeluaran gas asli terus melemah dengan mencatatkan pengecutan yang lebih ketara,” kata beliau.

 

Purata Harga Mengangkat Berwajaran (WALP) susut kepada AS$70.4 setong pada S2 berbanding AS$76.4 setong pada Q1, sejajar dengan penurunan harga penanda aras global. WTI purata AS$64.6 setong, manakala Brent turun kepada AS$68.0 setong.

 

Nilai eksport petroleum mentah dan kondensat meningkat kepada RM6.3 bilion, diterajui penghantaran ke Australia, Thailand dan Jepun.

 

Namun, eksport produk petroleum bertapis menurun kepada RM22.7 bilion dan eksport LNG merosot kepada RM10.4 bilion. Import petroleum mentah, produk bertapis dan LNG masing-masing turut menyusut berbanding suku sebelumnya.

 

Data tersebut mencadangkan sektor huluan Malaysia mungkin menghampiri titik perubahan, dengan pengecutan yang lebih kecil dalam pengeluaran minyak mentah berpotensi memberi sedikit sokongan kepada kestabilan pasaran, meskipun kelemahan gas asli dan aliran perdagangan yang lebih perlahan terus memberi tekanan kepada prospek sektor ini. - DagangNews.com