Pengeksport kayu Malaysia disaran teroka pasaran baharu, kurangkan kebergantungan kepada AS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengeksport kayu Malaysia disaran teroka pasaran baharu, kurangkan kebergantungan kepada AS

KUALA LUMPUR 8 Julai - Industri kayu Malaysia perlu meneroka pasaran eksport baharu bagi mengurangkan kebergantungan kepada Amerika Syarikat, kata Presiden Persatuan Forum Industri Kayu Malaysia (TIF), Wahid Jaafar.

 

Beliau berkata Malaysia boleh mengekalkan jumlah eksport dan memperoleh harga yang lebih baik dengan mengalih tumpuan ke pasaran seperti Timur Tengah dan India.

 

"Dengan promosi yang agresif, kawasan ini menawarkan potensi besar. Saya percaya kita mempunyai peluang pasaran yang kukuh di sana dan berkemungkinan besar boleh memperoleh harga premium," katanya kepada SunBiz di majlis pelancaran Buku Dana Levi Kayu TIF, baru-baru ini.

 

 

 (TIF) Wahid Jaafar
                                                                  Wahid Jaafar

 

 

Wahid berkata terdapat permintaan pasaran dari Timur Tengah di mana sebelum ini Malaysia tidak begitu aktif mempromosikan produknya.

 

"Negara-negara Timur Tengah mengimport dari Eropah dan AS. Jadi, mungkin ada potensi untuk spesies berkualiti tinggi seperti Meranti dan lain-lain," katanya.

 

Tambah beliau, India juga merupakan pasaran penting yang boleh diteroka lebih agresif oleh Malaysia untuk mempromosikan produk kayunya.

 

"KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) mereka agak memberangsangkan," katanya sambil merujuk kekuatan ekonomi negara tersebut.

 

Namun begitu, beliau mengakui pada masa ini, kayu balak dan produk kayu menghadapi cukai import yang tinggi di India. "Kalau mereka boleh turunkan kepada kadar yang lebih munasabah, India pasti boleh menjadi pasaran utama kita."

 

Wahid turut berkongsi bahawa tahun ini, situasi geopolitik amat mencabar bagi industri berkenaan, terutamanya akibat tarif yang dikenakan oleh Presiden AS Donald Trump. "Kebanyakan pembeli di AS telah menasihatkan supaya tidak menghantar atau menangguhkan penghantaran kerana ketidaktentuan. Kalau cukai 24 peratus dikenakan."

 

Beliau menambah margin keuntungan eksportor sudahpun sangat kecil.

 

"Ada yang fokus kepada produk pukal, dengan jumlah yang besar mereka masih boleh jual. Tetapi jika perlu bayar tarif 24 peratus, memang sangat mencabar untuk industri. Ramai pembeli kini batalkan tempahan atau minta tangguh penghantaran perabot. Ia sedang berlaku sekarang," katanya.

 

"Selain itu, kita juga perlu patuh kepada Peraturan Deforestasi Kesatuan Eropah yang dijangka dikuatkuasakan Disember ini. Bila ini diluluskan, negara lain seperti Australia mungkin akan ikut langkah sama. Ini antara peraturan yang perlu dihadapi. Banyak sekatan yang bakal dilaksanakan dari segi eksport."

 

Selain isu pasaran, Wahid berkata bahan gantian seperti plastik kayu dan komposit lain juga semakin digunakan sebagai alternatif kepada kayu.

 

Di samping usaha meneroka pasaran baharu, beliau turut menekankan kepentingan kelestarian dan pengurusan hutan yang bertanggungjawab.

 

"Dulu mungkin kita hanya tebang tanpa banyak berfikir. Tapi sekarang, kita rasa kita perlu main peranan dalam memulihara sumber kita.

 

"Kita tidak perlu tebang 10 juta, mungkin cukup tebang 5 juta. Tetapi kalau kita boleh tambah nilai, kita masih boleh jalankan perniagaan yang baik."

 

Wahid berkata ada dalam kalangan ahli TIF yang kini meneroka penggunaan batang kelapa sawit sebagai sebahagian daripada inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). "Lebih 32 juta meter padu kayu balak ditebang di ladang kelapa sawit. Sangat sedikit yang diproses." - DagangNews.com