Pengasas Puncak Niaga, Rozali Ismail letak jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengasas Puncak Niaga, Rozali Ismail letak jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 April – Puncak Niaga Holdings Bhd mengumumkan Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Rozali Ismail akan meletakkan jawatan berkuat kuasa 30 Jun 2026.

 

Peletakan jawatan itu dibuat selepas tempoh notis tiga bulan bermula 1 April, dan sepanjang tempoh berkenaan beliau akan terus menjalankan tanggungjawab seperti biasa sehingga tarikh akhir tersebut.

 

Rozali, 68 yang juga pengasas kumpulan itu turut akan melepaskan jawatan sebagai pengarah dalam semua anak syarikat Puncak Niaga selaras dengan pengundurannya daripada peranan utama dalam kumpulan.

 

Puncak Niaga dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas lembaga pengarah meneliti beberapa faktor termasuk keadaan kesihatan beliau, komitmen peribadi serta keperluan memastikan kesinambungan kepimpinan dan pematuhan kepada amalan tadbir urus korporat yang baik.

 

Rozali menubuhkan unit operasi asal syarikat pada 1989 sebelum ia berkembang menjadi pemain utama dalam pengurusan loji rawatan air di Selangor dan Kuala Lumpur.

 

Kumpulan itu disenaraikan pada 1997 dan seterusnya terlibat dalam penstrukturan semula industri air Selangor pada 2014, termasuk penjualan aset air kepada kerajaan negeri bernilai RM1.55 bilion.

 

Selepas penjualan tersebut, Puncak Niaga memberi tumpuan kepada perniagaan pembinaan infrastruktur air dan kumbahan, selain menceburi sektor perladangan kelapa sawit di Bintulu serta pengurusan fasiliti.

 

Syarikat itu juga memperluaskan perniagaan melalui pengambilalihan TRIplc Bhd bernilai RM210 juta daripada Pimpinan Ehsan Bhd, sekali gus menambah konsesi pengurusan fasiliti termasuk di UiTM Puncak Alam.

 

Lembaga pengarah dan pengurusan Puncak Niaga merakamkan penghargaan atas sumbangan dan kepimpinan Rozali selama ini dan menegaskan operasi kumpulan akan terus berjalan seperti biasa sepanjang tempoh peralihan tersebut. - DagangNews.com